KPM galakan sekolah agama berdaftar sebagai SABK
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan sekolah agama untuk mendaftar sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) bagi melayakkan serta memudahkan urusan pemberian bantuan daripada kerajaan pada masa depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, mulai 2004 sehingga 31 Januari 2023, sebanyak 229 buah sekolah agama telah didaftarkan sebagai SABK.
Jelasnya, sekolah yang ingin berdaftar perlu kemukakan permohonan kepada KPM selain memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk mempunyai premis sendiri dan dibina di atas tanah wakaf atau tanah Kerajaan Negeri.
Ujar beliau, ini syarat keselamatan yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang wajib dipenuhi sebelum mendaftar.
“Seksyen 79 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menetapkan semua institusi pendidikan hendaklah didaftarkan di bawah akta ini.
“Bagaimanapun, bagi institusi pendidikan yang menjalankan pendidikan agama semata-mata adalah terkecuali daripada tafsiran akta ini.
“Oleh itu bagi melayakkan sekolah agama menerima bantuan daripada kerajaan, KPM amat menggalakkan sekolah agama mendaftar sebagai SABK,” ujarnya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam masa sama, Fadhlina menjelaskan, sekolah yang ingin mendaftar juga hendaklah melaksanakan Kurikulum Kebangsaan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta 550 dan apa-apa kurikulum yang dibenarkan oleh KPM.
Tambah beliau, di samping itu sekolah haruslah melaksanakan kokurikulum sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan yang lain.
Ujarnya, KPM amat peka atas keperluan pendaftaran sekolah agama dengan pihak kerajaan dan akan berusaha untuk memastikan kebajikan hal ehwal sekolah itu dijaga.
“KPM amat peka atas keperluan pendaftaran sekolah agama dengan pihak kerajaan.
“Sesi perbincangan dua hala dan libat urus KPM dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri (PBAN) akan terus dilaksanakan selepas ini.
“Ini bagi memastikan sekolah agama dapat didaftarkan untuk melayakkan sekolah tersebut menerima bantuan dan ditadbir urus dengan baik,” katanya.