
KPM jalan siasatan dalaman, teliti kes pelajar jatuh asrama sekolah - Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor berikutan kejadian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah terbabit.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
"Saya mengambil perhatian kemalangan yang melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini. Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital.
"Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini. KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku buli. Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian ini melibatkan salah laku buli," katanya Fadhlina menerusi hantaran Facebook pada Selasa.
Sebagai langkah segera, Fadhlina berkata, KPM akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
Fadhlina turut menyampaikan doa agar pelajar terbabit diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian iitu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam dan kertas siasatan telah di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut. - Bernama