Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan. Foto tular
Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan. Foto tular

Pelajar tumbuk guru: KPM serah siasatan kepada PDRM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pelajar yang didakwa menumbuk seorang guru di sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedia maklum mengenai insiden yang tular di media sosial itu dan menghormati proses undang-undang yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Saya ingat di peringkat KPM ada peraturan dan ia masih berjalan. Tetapi dalam masa yang sama, apabila pihak berkuasa seperti PDRM telah mengambil alih kes itu, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

Kes berkenaan mencuri perhatian ramai selepas tular satu video memaparkan seorang pelajar Tingkatan Dua dipercayai menumbuk seorang guru lelaki.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas guru terbabit dikatakan cuba menahan pelajar tersebut kerana ponteng kelas Pendidikan Jasmani.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementerian tetap memantau perkembangan kes tersebut, terutamanya dalam aspek kebajikan guru yang menjadi mangsa.

"Kita akan beri tumpuan, khususnya untuk sesi kaunseling kepada guru juga kerana saya fikir sokongan kepada guru amat penting demi kesejahteraan mereka," tegas beliau.

Menurutnya, KPM menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera, bukan sahaja untuk pelajar, tetapi juga untuk warga pendidik yang menjadi tulang belakang sistem pendidikan negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keseimbangan antara penguatkuasaan peraturan dan sokongan psikososial perlu diwujudkan agar semua pihak dilindungi, khususnya dalam situasi konflik atau insiden kekerasan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan penahanan pelajar terbabit selepas dipercayai menumbuk dan mengugut gurunya dalam kejadian tersebut.

Pelajar berkenaan telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp