Raja Zarith Sofiah ketika menerima menghadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Fadhlina di Istana Negara. Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Raja Zarith Sofiah ketika menerima menghadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Fadhlina di Istana Negara. Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KPM junjung titah Raja Permaisuri Agong wujudkan persekitaran selamat di institusi pendidikan

15 Oct 2025 09:51pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjunjung titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berhubung keperluan mewujudkan persekitaran yang selamat di semua institusi pendidikan.

Dalam kenyataan pada Rabu, KPM memaklumkan bahawa titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan penting kepada seluruh warga kementerian untuk menangani isu salah laku seksual yang memberi implikasi besar kepada masyarakat dan negara.

"KPM komited melaksanakan kempen kesedaran menyeluruh di semua institusi pendidikan, menilai keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak), serta bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjalankan kajian mengenai pengaruh media sosial terhadap murid seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda.

"Keprihatinan Raja Permaisuri Agong yang menzahirkan pandangan berhubung isu sosial dan langkah menanganinya menjadi panduan kepada KPM untuk terus memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, Seri Paduka Baginda bertitah agar KPM menilai keberkesanan modul kempen TinDak dalam usaha memperkukuh persekitaran sekolah yang lebih selamat dengan penglibatan aktif ibu bapa.

Titah tersebut dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini yang dipandang serius oleh Seri Paduka Baginda.

Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut bertitah agar sekolah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa termasuk penggunaan Internet dan media sosial dalam kalangan murid serta menilai semula pendekatan sedia ada supaya seiring dengan perubahan zaman. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan mengutamakan keselamatan institusi pendidikan menyusuli titah Raja Permaisuri Agong
  • Kempen kesedaran dan penilaian modul TinDak dilaksanakan untuk menangani salah laku seksual
  • Kerjasama dengan UTM untuk kajian pengaruh media sosial terhadap murid
  • Titah Raja Permaisuri Agong menjadi panduan untuk memperkukuh keselamatan di institusi pendidikan
  • Keberkesanan modul kempen TinDak dan pemantauan penggunaan Internet oleh murid menjadi fokus utama
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp