![Fadhlina menyampaikan ucapan ketika Majlis Peluncuran Kit Duta Sahsiah di ibu kota pada 25 November tahun lalu. Foto: KPM.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/09/3000537.jpg)
KPM perkasa pelaksanaan NACS menerusi pendidikan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan agenda pencegahan rasuah terus diperkasakan melalui pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
KPM dalam satu kenyataan berkata, sebagai Kementerian Peneraju bagi Strategi 1: Pendidikan, pihaknya bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi enam substrategi yang terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek serta sederhana.
Menurut KPM, pihaknya juga berjaya meluncurkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November tahun lalu sebagai pemangkin pembentukan karakter 'karamah insaniah' dalam kalangan murid yang berasaskan nilai-nilai murni dan keperibadian unggul di bawah substrategi 5 NACS.
"Kit Duta Sahsiah selaras dengan fokus utama kementerian pada 2025 iaitu memperkasa penyampaian perkhidmatan pendidikan dan memperluas konsep Generasi Madani KPM kepada semua penjawat awam serta institusi pendidikan.
"Pelbagai modul latihan atau bahan rujukan meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang menjadi antara elemen penting pembentukan karakter 'karamah insaniah' terkandung dalam kit berkenaan.
"Duta sahsiah terpilih merupakan suri teladan untuk mempromosi, mengamalkan nilai-nilai murni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti serta bertanggungjawab," katanya pada Ahad.
Terdahulu, pada Mei tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan NACS 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang memfokuskan lima tonggak utama iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, NACS ialah langkah kerajaan membangunkan strategi pembanterasan rasuah nasional selari dengan Artikel 5 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) yang menetapkan bahawa semua negara anggota termasuk Malaysia perlu menghasilkan satu dokumen sebagai rujukan utama bagi inisiatif antirasuah.
Sementara itu, KPM berpandangan, pihaknya komited memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan berjalan lancar sepertimana terkandung dalam NACS.
"Ini penting bagi memerangi rasuah yang merupakan salah satu daripada daripada agenda utama reformasi negara," ujarnya.