
STEM berteraskan nilai: Membina pelajar inovatif dan beretika
Dalam arus pembangunan teknologi yang semakin pesat, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sering dilihat sebagai kunci kepada kemajuan negara.
Kita bercakap tentang robotik, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan sebagai bidang masa depan.
Namun, di sebalik fokus terhadap kemahiran teknikal, timbul persoalan penting adakah kita juga memberi tumpuan kepada pembentukan nilai dan karakter pelajar?
Pendidikan Sains dan Teknologi seharusnya tidak hanya melatih kemahiran berfikir secara analitik, tetapi juga membentuk kesedaran moral dan sosial.
Sains yang sejati bukan sekadar tentang penemuan dan inovasi, tetapi tentang tanggungjawab dan kesejahteraan manusia.

Dalam konteks ini, pendekatan pendidikan STEM perlu seimbang antara aspek kognitif dan afektif, agar pelajar bukan sahaja bijak mencipta, tetapi juga bijak menilai implikasi ciptaan mereka terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menegaskan keperluan melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Prinsip ini wajar diterapkan dalam konteks pendidikan STEM. Pelajar yang belajar tentang tenaga boleh baharu, misalnya, boleh digalakkan berfikir tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar.
Dalam topik AI, mereka boleh dibimbing memahami isu etika dan privasi digital. Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih bermakna serta menghubungkan ilmu dengan realiti kehidupan.

Pendidikan STEM, tanggungjawab sosial
Pendidikan STEM yang berteraskan nilai dapat membantu pelajar memahami bahawa setiap kemajuan teknologi membawa bersama tanggungjawab sosial.
Ia juga mengelakkan pendidikan daripada terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata tanpa mempertimbangkan kesan kemanusiaan.
Guru memainkan peranan penting dalam menghubungkan ilmu sains dengan nilai kemanusiaan. Kajian pendidikan menunjukkan bahawa guru yang menzahirkan minat, empati dan semangat terhadap subjek mereka cenderung membina minat jangka panjang dalam diri pelajar.
Pendekatan pembelajaran berasaskan inkuiri (inquiry-based learning) atau berasaskan projek (project-based learning) boleh dijadikan wadah untuk menggabungkan elemen nilai dengan konsep saintifik.
Sebagai contoh, projek membina model tenaga suria bukan sahaja menguji kemahiran teknikal, tetapi juga boleh dijadikan peluang untuk membincangkan isu kelestarian dan tanggungjawab terhadap bumi.
Dalam erti kata lain, guru bukan sekadar pengajar konsep, tetapi juga fasilitator kepada pembinaan nilai dan kepekaan sosial pelajar.
Minat terhadap Sains sering kali lahir apabila pelajar melihat kaitan langsung antara ilmu yang dipelajari dengan kehidupan mereka.
Dalam penyelidikan saya mengenai minat Sains dalam kalangan pelajar sekolah rendah, aspek nilai dan pengalaman emosi terbukti menjadi pemangkin utama kepada motivasi intrinsik.
Apabila pelajar memahami bahawa Sains membantu manusia, menyelesaikan masalah dan memperbaiki kehidupan, mereka lebih terdorong untuk terus belajar dan meneroka.

Tanggungjawab dan empati terhadap masyarakat
Pendidikan STEM yang berorientasikan nilai bukan sahaja menyemai minat, tetapi juga mengukuhkan rasa tanggungjawab dan empati terhadap masyarakat.
Inilah asas kepada pembentukan generasi yang bukan sahaja celik sains, tetapi juga beretika dan berprinsip.
Kemajuan teknologi dan inovasi tidak dapat dipisahkan daripada nilai kemanusiaan. Justeru, pendidikan STEM di Malaysia perlu bergerak ke arah integrasi yang lebih menyeluruh antara ilmu, nilai dan karakter.
Guru, ibu bapa dan pembuat dasar perlu melihat pendidikan bukan sekadar alat untuk memenuhi keperluan industri, tetapi sebagai wahana untuk membentuk insan yang seimbang, beretika dan bertanggungjawab.
Sains dengan jiwa bukan slogan baharu, tetapi panggilan untuk mengembalikan makna sebenar pendidikan mendidik manusia yang bukan sahaja tahu mencipta, tetapi tahu mengapa mereka mencipta.

Maklumat penulis:
Felo Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Pendidikan STEM perlu berteraskan nilai untuk melahirkan pelajar yang inovatif dan beretika
- Penekanan pada pembentukan kesedaran moral dan sosial selain kemahiran analitik
- Pendekatan pendidikan harus seimbang antara aspek kognitif dan afektif
- Guru berperanan penting menghubungkan ilmu sains dengan nilai kemanusiaan
- Tanggungjawab sosial seharusnya menjadi sebahagian daripada pembelajaran dalam pendidikan STEM