Kah Woh bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen.
Kah Woh bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen.

KPM perkukuh sistem keselamatan sekolah, gubal Akta Anti-Buli

08 Oct 2025 03:35pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin murid, termasuk cadangan menggubal Akta Anti-Buli menggunakan sistem tribunal yang kini diteliti Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, inisiatif itu antara langkah baharu selepas penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan (JKRKIP) serta audit keselamatan di 735 sekolah seluruh negara sejak Ogos lepas.

"Antara reformasi penting ialah memperkenalkan fungsi aduan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi, selain mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) salah laku buli dan seksual supaya lebih sistematik serta menyeluruh," katanya menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai langkah konkrit KPM dalam menangani kes buli di sekolah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu. 

Beliau berkata, KPM turut memperkenalkan Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang menekankan keseimbangan intelektual, sahsiah dan spiritual, dengan elemen pembentukan karakter dimasukkan dalam kurikulum 2027 bagi melatih pelajar mengurus emosi dan membina empati.

Data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) menunjukkan 7,681 kes buli direkodkan pada 2024 berbanding 6,528 kes pada 2023, namun Kah Woh berkata, KPM yakin insiden dapat dikurangkan menerusi pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan komuniti.

"Usaha memerangi buli ini perlu dilaksanakan tanpa kompromi oleh semua pihak, ia bukan sekadar tindakan tatatertib, tetapi tanggungjawab bersama dalam membentuk generasi berakhlak dan selamat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Halimah berhubung peranan sekolah dalam mendidik pelajar mengawal emosi, Kah Woh berkata, pelantikan Duta Sahsiah dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) membantu menyediakan saluran sokongan alternatif kepada murid yang takut melapor kes buli secara terus kepada guru.

Beliau berkata, garis panduan baharu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas 12/2023 telah memperincikan tatacara pengendalian kes buli fizikal, lisan dan bukan lisan, termasuk proses disiplin, rayuan serta rekod pengendalian kes.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai keperluan warden sepenuh masa, Kah Woh berkata, jumlah warden asrama telah meningkat 68.5 peratus dalam tempoh tiga tahun, daripada 6,055 orang pada 2022 kepada 10,204 orang tahun ini.

"Bagi sekolah yang mempunyai 50 murid asrama, kini diperuntukkan tiga warden berbanding satu sebelum ini. Selain guru, pelantikan juga diperluas kepada kumpulan pelaksana bagi memastikan tanggungjawab dijalankan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, KPM turut mendapat pandangan untuk melantik warden sambilan daripada pasukan polis atau tentera, sebagaimana dilaksanakan secara rintis di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi menambah keberkesanan kawalan disiplin.

Kah Woh berkata, lawatan mengejut atau spot check akan terus dilakukan oleh pengurusan tertinggi KPM, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah bagi memastikan pematuhan SOP keselamatan dan disiplin di semua sekolah termasuk pada waktu malam. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan melaksanakan reformasi untuk memperkukuh keselamatan dan disiplin murid termasuk cadangan Akta Anti-Buli
  • Timbalan Menteri Pendidikan menyatakan inisiatif reformasi meliputi audit keselamatan di sekolah dan pengenalan fungsi aduan tanpa nama
  • Diperkenalkan Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI bagi melatih pelajar mengurus emosi dan membina empati
  • Data menunjukkan peningkatan kes buli dari tahun 2023 ke 2024 tetapi KPM yakin insiden dapat dikurangkan dengan pendekatan menyeluruh
  • Peningkatan jumlah warden asrama sebanyak 68.5 peratus dalam tiga tahun dan lawatan mengejut untuk memastikan pematuhan SOP keselamatan dan disiplin
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp