
KPM pertimbang penghargaan buat pasukan orkestra SPWinds
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti bentuk penghargaan yang sesuai untuk diberikan kepada Pasukan Orkestra Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya iaitu Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) yang telah mengharumkan nama negara selepas memenangi Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia di Austria baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pencapaian luar biasa itu wajar diraikan dan semua ahli pasukan layak menerima pengiktirafan setimpal atas usaha, komitmen dan bakat yang ditunjukkan mereka di pentas antarabangsa.
"Kita akan lihat kerana saya fikir mereka layak untuk mendapat pengiktirafan dan penghargaan itu," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas menyambut kepulangan pasukan tersebut ke tanah air pada Selasa.
Tambahnya, fokus kementerian ketika ini adalah meraikan kejayaan pelajar berkenaan yang telah mencapai tahap sangat luar biasa di peringkat dunia, dan kementerian mahu penghargaan yang bakal diberikan bersifat bermakna serta berkekalan.
"Mereka telah mencapai satu tahap yang sangat luar biasa, khususnya di peringkat dunia. Jadi kita akan lihat bagaimana bentuk penghargaan itu nanti," katanya lagi.
Fadhlina turut memuji kesungguhan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan SPWinds sepanjang tempoh latihan berterusan selama dua hingga tiga tahun, selain sokongan padu daripada keluarga, pihak sekolah, alumni serta KPM sendiri.
Katanya, kejayaan pasukan orkestra tersebut membuktikan bahawa pelaburan dalam pembangunan bakat pelajar mampu membuahkan hasil yang membanggakan sekali gus memperkukuh lagi usaha kementerian dalam memartabatkan pendidikan berteraskan potensi diri.
Kemenangan SPWinds di Austria bukanlah kejayaan pertama mereka di pentas antarabangsa.
Sekolah Seri Puteri sebelum ini juga pernah mencatat pelbagai pencapaian dalam bidang muzik dan seni persembahan, menjadikan institusi itu antara rujukan dalam pengembangan bakat pelajar sekolah berasrama penuh.
SPWinds mencipta sejarah apabila menjadi wakil tunggal negara yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 yang berlangsung di Vienna, Austria.
Lebih membanggakan, Konduktor Orkestra itu, Raja Muzafar Shah turut dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik dalam acara yang berlangsung dari Rabu hingga Sabtu lalu.
Seramai 66 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun menyertai kategori Remaja bagi Orkestra Alat Muzik Tiupan dan Brass.
Mereka mempersembahkan dua karya iaitu Amana oleh Hiroaki Kataoka serta komposisi tempatan Rai dan Tari ciptaan Yeo Chow Shern.