KPM sediakan portal aduan buli
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan portal aduan buli pada minggu hadapan sebagai usaha menambah baik pendekatan memerangi kes buli di sekolah.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ibu bapa dan guru boleh membuat laporan mengenai kes buli di sekolah menerusi tiga kaedah iaitu panggilan telefon, e-mel dan dalam sistem portal itu sendiri.
“Sekiranya ada kecemasan berkaitan dengan buli ini dan ada mesej yang hendak disampaikan secara sulit, ada platform (portal) yang jelas untuk mereka sampaikan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Showcase Transformasi Pendidikan di Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut Radzi, pihaknya sentiasa berusaha bagi mengurangkan insiden buli di sekolah melalui beberapa tindakan holistik termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi melihat konteks penambahbaikan dalam tatacara dan panduan sedia ada berkaitan buli di sekolah.
Tambahnya, KPM juga akan melancarkan program Sekolahku Sejahtera, Sepakat dan Selamat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri bagi mewujudkan persekitaran selamat di sekolah.
“Konsep Sekolahku Sejahtera yang sedang diamalkan turut menekankan elemen jati diri pelajar supaya mereka dapat membuat keputusan rasional selain penerapan nilai empati bagi mengelak diri daripada terlibat gejala buli.
“Kita boleh ada macam-macam pemantauan tetapi kalau jiwa dan pemikiran anak-anak masih belum jelas, tindakan mereka itu akan membawa kepada kes-kes buli,” jelas beliau.
Sebelum ini, KPM telah melaksanakan pelbagai transformasi dalam bidang pendidikan bagi melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat dunia.
Radzi berkata, setiap keputusan atau dasar baharu KPM termasuk mengenai pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tidak dibuat secara terburu-buru.
“Tidak pernah ada sebarang keputusan yang kementerian buat secara tiba-tiba dan setiap keputusan dianalisis secara mendalam.
“Secara umumnya, masyarakat terlalu fokus kepada peperiksaan dan tidak mengutamakan kemenjadian murid secara keseluruhannya,” ujarnya.
Artikel berkaitan
Lagi kes buli melibatkan pelajar sekolah, pelajar cedera disebabkan rebut perempuan
Elak buli, ini 7 teknik pertahankan diri yang wajib pelajar ketahui
Keluarga antara faktor dorong individu menjadi pembuli