KPM komited menyelesaikan isu berbangkit bagi memastikan DLP dilaksanakan dengan baik. Kredit foto: Bernama
KPM komited menyelesaikan isu berbangkit bagi memastikan DLP dilaksanakan dengan baik. Kredit foto: Bernama

KPM tangani isu pelaksanaan DLP di sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
06 Jun 2024 05:25pm

Bantahan pelaksanaan program Dual Language Programme (DLP) di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang telah diambil perhatian pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan akan ditangani sebaiknya.

Menurut kenyataan media pada Khamis, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dengan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak terlibat.

“KPM komited untuk menyelesaikan isu yang berbangkit bagi memastikan program DLP dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan kepada garis panduan yang ditetapkan dan mencapai objektifnya,” ujar kenyataan itu.

DLP adalah program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan Matematik.

Ia bertujuan membantu murid meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris dengan memberikan pendedahan masa yang lebih melalui PdP subjek Sains dan Matematik di sekolah.

Pelaksanaan program DLP adalah berdasarkan garis panduan seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme Tahun 2024 bertarikh 19 Mac 2024.

Sekolah yang melaksanakan program DLP perlu memastikan peluang turut disediakan kepada murid yang memohon untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda masing-masing.

Pihak sekolah hendaklah memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap Tahun/Tingkatan yang melaksanakan PdP menggunakan bahasa Kebangsaan/bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bermula dengan Tahun Satu dan Tingkatan Satu untuk sesi persekolahan baharu mulai tahun 2024/2025.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp