Fadhlina (kiri) dan Armizan (kanan) menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KPM Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Ruji Ubi (dua dari kiri) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia Ketua Pengarah MylPO Kamal Kormin (dua dari kanan) di Menara MyIPO, Petaling Jaya pada Rabu.
Fadhlina (kiri) dan Armizan (kanan) menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KPM Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Ruji Ubi (dua dari kiri) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia Ketua Pengarah MylPO Kamal Kormin (dua dari kanan) di Menara MyIPO, Petaling Jaya pada Rabu.

KPM terima banyak aduan pelanggaran hak cipta bahan pendidikan

06 Nov 2024 09:00pm

Kementerian Pendidikan (KPM) menerima banyak aduan mengenai pelanggaran hak cipta bahan-bahan pendidikan yang dihasilkan oleh kementerian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, aduan itu antaranya berkaitan penggunaan bahan daripada buku teks yang telah dimasukkan ke dalam peranti seperti televisyen pintar dan papan pintar yang dijual pada harga yang lebih tinggi kepada pihak sekolah.

Pelanggaran itu katanya, menimbulkan kebimbangan kerana ia melibatkan penyelewengan hak intelek kementerian yang boleh memberi impak negatif kepada kualiti dan integriti sistem pendidikan negara.

"Saya fikir bila kita terima aduan itu (pelanggaran hak cipta), langkah utama yang harus dilakukan adalah untuk memastikan bahawa kandungan tersebut tidak lagi dimuat naik tanpa kebenaran, dan memastikan hak cipta harta intelek khususnya berkaitan dengan bahan pendidikan ini dilindungi sepenuhnya.

"Jadi dalam konteks ini, kita akan terus memastikan ia dilindungi kerana mahu hak intelek membabitkan bahan pengajaran dipastikan dari segi perundangan atau kesahihan dan tidak lagi dimuat naik tanpa kebenaran," kata Fadhlina.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan KPM pada Rabu.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Sementara itu, Armizan berkata, MoU terbabit adalah kesinambungan kepada pelaksanaan program dijalankan MyIPO sejak 2013 untuk meningkatkan kesedaran hak harta intelek dalam kalangan pelajar.

Artikel Berkaitan:

Melalui MoU itu, sebuah modul khas mengenai harta intelek akan dibangunkan dan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sekolah sedia ada.

"Modul ini akan memperkenalkan konsep harta intelek dengan cara yang mudah difahami oleh pelajar dan membina asas serta pemahaman kukuh bagi melahirkan generasi celik perlindungan harta intelek," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp