KPM tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutama terhadap murid sekolah

nadzarul.amir
03 Jan 2023 03:05pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa kepada dua pemain pasukan bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pertemuan berkenaan adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa pelajar itu berkaitan insiden terbabit.

"Kami (KPM) sudah berjumpa dengan ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas.

"Kementerian tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutama terhadap pelajar sekolah.

"Kebimbangan kami sangat besar tentang isu itu dan keutamaan ialah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pembukaan sekolah sesi ketiga bagi tahun 2022/2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam pada Selasa.

Beliau memberitahu, maklum balas yang diterima daripada ibu bapa serta pihak berkepentingan lain akan dilihat secara keseluruhan dan siasatan bakal diteruskan khususnya yang berkait rapat dengan integriti dan tatatertib.

Fadhlina menjelaskan, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah melaksanakan sesi kaunseling terhadap dua remaja berkenaan.

Ditanya adakah KPM akan membuat laporan polis berkenaan isu terbabit, Fadhlina berkata, kementerian boleh melaksanakan siasatan menerusi bahagian intergriti dan tatatertib.

"Kita masih lagi menyiasat. Tidak semestinya tidak ada laporan polis kita tak akan siasat, kita ada bahagian integriti dan tatatertib.

"Kita akan teruskan dengan melihat kepada laporan tersebut," tegasnya.

Artikel berkaitan

KPM pandang serius insiden jurulatih tampar pemain wanita

KPM terus pantau dan lakukan intervensi murid berisiko cicir

KPM aktifkan semula MPPK


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok