
KPM tidak berkompromi dengan kesalahan seksual
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan melibatkan pendidik khususnya berkaitan kesalahan seksual di sekolah-sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian akan menyiasat secara menyeluruh berhubung kes seorang guru lelaki yang disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita.
"Siasatan sedang kita laksanakan tapi macam biasa, saya ulang dengan tegas bahawa kita (KPM) tidak berkompromi dengan apa sahaja kesalahan-kesalahan khususnya seksual. Seperti yang saya selalu sebut, you touch, you go.
"Kita akan siasat secara menyeluruh dan kita berpegang kepada garis panduan yang sudah ada dan peraturan-peraturan sedia ada. Jadi penegasan telah pun kita buat berulang kali dan akan teruskan penegasan itu dari masa ke masa," katanya.
Fadhlina sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharan Pencapaian 100% Penajaan Smartboard Sekolah-Sekolah Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, seorang guru lelaki ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita.
Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan susulan pendedahan dibuat seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di daerah ini mengenai tingkah laku tidak senonoh suspek.
Guru wanita itu mendakwa pernah menyaksikan suspek berkelakuan intim dengan beberapa pelajar perempuan selain menerima pautan lucah daripadanya.
Suspek tampil membela diri dengan membuat hantaran di akaun Facebooknya dan menyatakan tindakan menghantar pautan lucah itu sebagai tidak disengajakan.
Ditanya tindakan yang akan diambil oleh KPM ke atas guru lelaki itu, Fadhlina berkata, pihak kementerian akan memberi ruang kepada polis untuk melakukan siasatan sepenuhnya telebih dahulu.
"Kita bagi ruang dulu siasatan penuh dilaksanakan, tidak boleh nak kata dia tidak akan didakwa atau tidak.
"Siasatan masih lagi berlangsung, jadi apa sahaja arahan yang terkait rapat atau garis panduan yang memastikan bahawa tindakan atau pun sebarang perilaku itu yang terkait rapat dengan siasatan akan kita uruskan mengikut peraturan kita.
"Jadi kita ambil jaminan ini dan ini maknanya bagi memastikan bahawa kita melakukan apa yang disifatkan mengikut peraturan-peraturan sedia ada," katanya.