
Perjalanan dalam dunia akademik & pentadbiran tidak akan terhenti walaupun bersara. 'Jika diperlukan, saya akan datang membantu' - Zaini
Sudah 37 tahun Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, 60, menabur bakti dalam dunia akademik dan pentadbiran negara.
Sepanjang tempoh itu, beliau telah memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor pendidikan tinggi negara melalui pelbagai inisiatif dan dasar strategik yang memberi impak besar kepada institusi pengajian tinggi, ahli akademik dan mahasiswa.
Kini, tibalah masanya untuk Zaini bersara daripada kerjayanya dan menumpukan kepada kehidupan baharu bersama keluarga.
Namun kata beliau, bersara bukanlah noktah kepada sumbangan.
"Saya akan terus menyumbang kepada pembangunan ilmu dari jauh dan memberi sokongan kepada rakan-rakan dalam dunia akademik.
"Jikalau diperlukan, saya akan datang membantu," katanya di Facebook KPT pada Sabtu.

Walaupun sudah bersara, beliau berkata, hatinya tetap dengan bidang akademik.
"Saya berhasrat untuk memulakan The Hundred Days World Lecture Tour, satu jelajah akademik ke lebih 15 negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Turkiye, Sweden, Norway, Denmark, Amerika Syarikat dan Jepun," ujarnya dalam Majlis Sejambak Kasih: Catatan Kembara Legasi Gemilang.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menzahirkan penghargaan terhadap peranan luar biasa Zaini sebagai pemimpin yang berwawasan dan berani melakukan perubahan.
"Kehadiran beliau ke kementerian (KPT) ini sebenarnya banyak membantu melakukan anjakan-anjakan besar.
"Dunia pendidikan tinggi kita memerlukan seorang KSU yang memahami landskap pendidikan dengan mendalam dan beliaulah individu yang berjaya menggerakkan agenda-agenda penting dengan penuh dedikasi," jelasnya dalam majlis sama.

Akhir sekali, kami di Sinar Bestari mengucapkan selamat bersara kepada Dr Zaini.
Semoga segala jasa dan kebaikan dibalas dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan berpanjangan dan ketenangan dalam setiap langkah kehidupan selepas ini.
Jasa tetap dikenang, budi tetap dihargai.
INFO
- Zaini memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada tahun 1988 sebelum melangkah ke dunia pentadbiran dengan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termuda di usia 43 tahun (2008-2013).
- Kemudian, beliau menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha II di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2013 hingga 2015.
- Seterusnya, Zaini dilantik KSU KPT buat kali pertama pada 29 Julai 2015 hingga 5 Ogos 2016.
- Selepas itu, beliau meneruskan perkhidmatan sebagai KSU di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Sumber Manusia dan akhirnya di Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum kembali ke KPT pada 13 Februari 2024.
- Biarpun berkelayakan sebagai pakar air dan alam sekitar, namun sumbangan beliau yang merentas sektor membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin teknokrat yang berwawasan dan berimpak tinggi.
- Malah kepimpinan dan sumbangannya turut mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara apabila menjadi penerima pertama Anugerah Merdeka 2009 (pencapaian ilmiah); penerima Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M dan penerima anugerah berprestij Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun pada 2022.
- Selain itu, beliau turut menulis lebih 51 buah buku, 300 kertas akademik, lebih 2,000 artikel dalam media massa dan mendaftarkan 21 harta intelek.
- Dalam masa sama, Zaini turut dikenali dalam arena puisi tanah air dengan karya bertemakan alam.