KPT cakna mangsa banjir di Johor, hulur bantuan tanpa henti sejak bencana berlaku!
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa prihatin keadaan semasa masyarakat apabila menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di 10 daerah di Johor baru-baru ini.
Sehingga 17 Mac lalu, banjir yang melanda daerah Segamat, Kluang, Muar, Kota Tinggi, Johor Bahru, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Tangkak dan Mersing terus mendapat bantuan daripada pihak berkaitan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan media berkata, antara bentuk bantuan yang telah diberikan adalah menggerakkan sukarelawan ke Johor bagi menolong mangsa banjir.
“KPT menerusi Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) telah menggerakkan seramai 1,442 sukarelawan yang terdiri daripada 459 staf dan 983 mahasiswa seluruh negara bagi mengedarkan 3,081 Bakul Rahmah KPT, keperluan asas seperti pakaian dan kit kebersihan serta wang tunai yang dianggarkan bernilai RM345,100 keseluruhannya.
“KPT juga melalui Bridged Sukarelawan IPT telah dimobilisasikan (digerakkan ke kawasan ditimpa banjir) bagi membantu mangsa terutama dalam kerja pembersihan bangunan awam seperti sekolah dan masjid dengan kelengkapan 80 unit water jet, 21 buah water pump dan 15 unit generator.
“Dalam operasi bantuan ini, KPT juga telah menyediakan sebanyak 29 buah bas/coaster, 36 buah SUB/4WD, 27 buah van, 10 lori dan dua bot serta menubuhkan pasukan khas bagi memberi perkhidmatan bantuan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan secara individu mahupun berkelompok,” ujarnya.
Sambung Mohamed Khaled lagi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat turut dijadikan Pusat Penempatan Sukarelawan Southern Volunteer sebagai kemudahan penginapan.
Seramai 223 sukarelawan yang terdiri daripada enam agensi kemanusiaan dan pihak berkuasa tempatan telah tinggal di sini bagi menjalankan agihan bantuan kepada mangsa banjir secepat mungkin.
“Selain itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Perwira di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Parit Raja turut dibuka bermula 8 Mac lalu dan masih beroperasi sehingga hari ini.
“Pusat ini telah menempatkan 2,554 mangsa tempatan yang terdiri daripada lebih 300 keluarga dengan kelengkapan tempat tidur, makanan, bekalan air bersih dan keperluan asas lain,” tuturnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, kira-kira 830 warga universiti yang terdiri daripada 776 mahasiswa dan 54 kakitangan di semua 20 Universiti Awam turut terkesan akibat banjir kali ini.
“Memandangkan penuntut kini dalam tempoh cuti semester dan sedang berada di kampung halaman masing-masing, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terjejas.
“Namun kesesuaian pelaksanaannya akan dibuat sekiranya situasi banjir masih berterusan apabila semester dibuka semula kelak,” jelas Menteri Pendidikan Tinggi ini.
Akhir sekali, KPT akan terus memantau keadaan banjir di Johor dengan semua agensi yang berkaitan dan dinasihatkan semua penuntut dan kakitangan IPT yang terkesan sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Mohamed Khaled turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi penghargaan kepada semua sukarelawan dan agensi di bawah KPT atas komitmen padu dalam menghulurkan tenaga, bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban mangsa yang terkesan.
“Saya berharap semoga kerjasama pembangunan, pemulihan dan intervensi ini terus disemai.
“Saya juga menyeru semua pihak di seluruh negara untuk bersama-sama mendoakan agar semua mangsa banjir selamat dan dipermudah segala urusan,” ujar beliau.