Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KPT pertimbang buka laluan khas TVET kepada pelajar aliran agama

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Sep 2023 03:13pm

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan untuk membuka satu laluan khas kepada pelajar aliran agama, huffaz dan lepasan Maahad Tahfiz al-Quran menyambung pengajian ke politeknik atau program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu adalah selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) serta prinsip aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat nilai unggul dalam diri bagi disatukan dengan kemahiran terbaik.

“Jika sekarang ini Program Techno Huffaz hanya dilaksanakan secara khusus dan terhad kepada empat program di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).

“Maka selepas ini pelajar tahfiz, aliran agama dan lepasan maahad akan mempunyai peluang serta laluan yang lebih besar serta pelbagai untuk mengikuti pengajian TVET di semua politeknik di bawah KPT,” ujarnya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, KPT turut menyediakan laluan khas bagi kemasukan golongan rentan termasuklah kepda golongan keluarga berpendapatan rendah (B40), orang kurang upaya (OKU) dan Orang Asli.

Dalam pada itu, menurut Mohamed Khaled lagi, kemasukan ke politeknik bagi Sesi 1: 2023/2024 adalah seramai 20,520 orang iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding sesi sama pada tahun 2022/2023 iaitu seramai 16,962.

Manakala bagi semua program TVET yang diuruskan oleh KPT adalah sebanyak 79.6 peratus daripada tempat yang tersedia telah diisi dengan jumlah enrolmen semasa mencecah kira-kira 144,816 pelajar secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp