
Kurikulum baharu ringankan beg sekolah - NUTP
Pelaksanaan Kurikulum Baharu 2027 dilihat sebagai langkah tepat dalam menangani isu beg sekolah berat.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, pengurangan subjek dan buku teks memberi ruang kepada pembelajaran lebih bermakna berteraskan literasi, numerasi serta pembinaan karakter murid.
“Guru akan lebih menumpukan aktiviti berasaskan kelas dan pengalaman berbanding kebergantungan kepada buku fizikal.
“Pendekatan ini dijangka mengurangkan keperluan membawa bahan setiap hari sekali gus menjaga kesihatan fizikal murid terutama Tahap Satu,” katanya.
Namun, kejayaan pelaksanaan bergantung kepada pemantauan sekolah dan kerjasama ibu bapa supaya bahan tambahan tidak kembali membebankan murid. Ujar Fouzi lagi, peranan ibu bapa amat penting bagi memastikan kesihatan anak terpelihara.
“Kajian menunjukkan berat beg bukan semata-mata berpunca daripada buku teks, sebaliknya bahan tambahan seperti bekalan makanan, fail dan barangan tidak perlu turut menyumbang kepada beban.
“Kami berharap pihak sekolah serta guru-guru terus komited dan kreatif dalam memastikan murid berasa dihargai tanpa dibebani isu membawa beg berat ke sekolah.
“Penggunaan beg secara ergonomik wajar diberi perhatian demi kesejahteraan murid,” katanya lagi.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan Kurikulum Baharu 2027 dirancang untuk mengatasi isu beg sekolah berat
- Pengurangan subjek dan buku teks dalam kurikulum baru bertujuan untuk pembelajaran yang lebih bermakna
- Guru akan lebih fokus kepada aktiviti berasaskan kelas daripada menggunakan buku fizikal
- Kejayaan pelaksanaan kurikulum baru bergantung kepada pemantauan sekolah dan kerjasama ibu bapa
- Berat beg sekolah tidak hanya disebabkan oleh buku teks tetapi juga bahan tambahan seperti bekalan makanan dan fail
