SMK Buyong Adil hidupkan semangat kemerdekaan dengan sambutan yang meriah.
SMK Buyong Adil hidupkan semangat kemerdekaan dengan sambutan yang meriah.

Laungan semangat kemerdekaan 350 pelajar SMK Buyong Adil

16 Aug 2024 03:07pm

Semangat patriotisme kian dirasai oleh rakyat Malaysia apabila bulan Ogos menjelang, mengingatkan semua detik bersejarah yang berlangsung 67 tahun lalu.

Tema Bulan Kebangsaan buat kali ini, ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’ adalah sangat bermakna, dan harus dijadikan pedoman bagi setiap rakyat Malaysia yang cinta akan negara.

Bulan ini adalah suatu peluang bagi warga pendidik untuk menerapkan rasa bersyukur dalam diri pelajar tentang kemenangan perjuangan mencapai kemerdekaan negara.

Sempena memeriahkan bulan istimewa ini, Pejabat Penerangan Daerah Batang Padang dengan kerjasama Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil, Tapah telah menganjurkan program Sambutan Bulan Kebangsaan, disertai 350 pelajar sekolah tersebut.

Antara pengisian program adalah ucapan perasmian oleh pengetua sekolah Ruslan Khalid, lafaz Ikrar Rukun Negara pimpinan adik Tirunaavukarasu Sivamurthy, ceramah kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik 31 Ogos, Kuiz Kenegaraan dan penyerahan Jalur Gemilang.

Menurut pengetua sekolah itu, beliau sangat menghargai usaha Jabatan Penerangan kerana program seumpama ini dapat melahirkan rasa cinta negara dalam diri pelajar generasi selepas pengisytiharan merdeka.

Pegawai Penerangan Daerah Batang Padang, Suriani Ghazali pula menyeru kepada para pelajar untuk menyahut saranan Perdana Menteri agar Jalur Gemilang dapat dikibarkan di setiap kediaman sejajar dengan inisiatif kerajaan, Satu Rumah Satu Bendera.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp