1,915,110 murid dan pelajar di seluruh negara telah membuat penebusan Baucar Buku Madani, setakat semalam. Gambar hiasan.
1,915,110 murid dan pelajar di seluruh negara telah membuat penebusan Baucar Buku Madani, setakat semalam. Gambar hiasan.

Lebih 1.9 juta murid, pelajar tebus Baucar Buku Madani

22 Oct 2024 05:58pm

Seramai 1,915,110 murid dan pelajar lepasan menengah di seluruh negara telah membuat penebusan Baucar Buku Madani, setakat semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah tersebut, 661,487 adalah murid Tahap Dua sekolah rendah sementara 1,191,817 merupakan pelajar sekolah menengah dan 61,806 pelajar daripada kolej vokasional, pra-universiti, kolej matrikulasi serta institut pendidikan guru.

"Jumlah nilai Baucar Buku Madani yang telah pun ditebus oleh golongan ini sehingga 21 Oktober adalah berjumlah RM157 juta.

"Penebusan ini telah menghasilkan nilai pembelian keseluruhan sebanyak RM120.5 juta melibatkan 3.9 juta naskhah buku,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai status terkini pemberian baucar buku dan jumlah peruntukan yang telah disediakan.

Bagi memastikan pemberian baucar buku dapat mencapai sasaran 3,558,024 orang pada akhir tahun ini, Wong berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan sesi libat urus dengan semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta guru perpustakaan dan media seluruh negara bagi membantu murid membuat penebusan baucar tersebut.

"Data penebusan di setiap negeri, daerah dan sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan proses penebusan berjalan lancar dan dapat dioptimumkan.

"Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyokong perkembangan literasi dalam kalangan murid Malaysia malah dengan peruntukan yang besar ini, program Baucar Buku Madani juga berupaya meningkatkan akses kepada sumber pendidikan yang berkualiti, minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 30 Mei lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM50 dan RM100 bagi murid Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp