Rubiah berucap mewakili Ahmad Zahid di Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Rubiah berucap mewakili Ahmad Zahid di Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Legasi Pak Lah buat pelajar

Hidupkan gagasan, pemikiran cemerlang melalui MARA

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
28 Jul 2025 06:54pm

Nilai kepimpinan, integriti dan kesederhanaan yang menjadi asas pemerintahan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi wajar terus disemarakkan dalam kalangan generasi muda, bukan sekadar untuk dikenang tetapi diwarisi dan diamalkan.

Bagi menyambung warisan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Majlis Amanah Rakyat (MARA) menghidupkan kembali pemikiran dan gagasan Allahyarham Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, khususnya dalam memperkukuh agenda Melayu atau Bumiputera melalui pendidikan, latihan serta keusahawanan.

Beliau mencadangkan empat pendekatan strategik bagi memastikan falsafah Pak Lah terus memberi manfaat kepada bangsa dan negara, terutamanya melalui institusi-institusi pendidikan MARA.

"Pertama, MARA wajar melanjutkan legasi dengan membina generasi baharu Bumiputera yang bukan sahaja mahir secara teknikal tapi teguh nilai dan moral.

Rubiah bersama barisan tetamu lain melihat jasa dan pengorbanan Allahyarham Pak Lah.
Rubiah bersama barisan tetamu lain melihat jasa dan pengorbanan Allahyarham Pak Lah.

"MARA menerusi institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan GiatMARA boleh bangunkan satu modul khas kepimpinan Pak Lah untuk pelajar, agar nilai kesederhanaan, hikmah dan kepimpinan beretika ini dapat diwarisi generasi pelapis negara," katanya dalam ucapan merasmikan Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Priemera Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. Hadir memeriahkan acara Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Artikel Berkaitan:

Modul khas pelajar MARA

Dalam usaha membudayakan nilai kesederhanaan, hikmah dan kepimpinan beretika, MARA dicadang membangunkan modul khas kepimpinan Pak Lah untuk diterapkan dalam kalangan pelajar MRSM, IKM dan GiatMARA.

“Ini bukan sekadar pengisian kokurikulum tetapi pelaburan jiwa pelajar yang akan memimpin masa hadapan,” katanya.

Turut disentuh mengenai sumbangan besar Pak Lah dalam merintis pelancaran lima koridor ekonomi wilayah yang memberi impak besar kepada pembangunan kawasan luar bandar.

FOKUS... Tokoh akademik dan pelajar menghayati perkongsian di Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
FOKUS... Tokoh akademik dan pelajar menghayati perkongsian di Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Beliau menyarankan supaya MARA memperluaskan akses pendidikan dan latihan ke kawasan pedalaman menerusi penubuhan pusat latihan bergerak yang menyediakan latihan teknikal serta digital.

Sebagai langkah lanjutan, MARA melalui UPTM turut digalakkan menjalankan kajian akademik terhadap corak kepimpinan Pak Lah agar dasar-dasar bernilai yang pernah diperkenalkan dapat disemarakkan semula dalam bentuk program, dasar dan penyelidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp