
Guru SK Intan Baiduri kembali ke rahmatullah. 'Cikgu Rafizol bukan sekadar mengajar Matematik tetapi turut mendidik tentang erti sabar & hormat'
Dunia pendidikan sekali lagi dikejutkan dengan berita pemergian seorang pendidik yang cukup disayangi dan dihormati.
Guru Matematik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Baiduri, Kuala Lumpur, Cikgu Muhammad Rafizol Hussein baru sahaja kembali ke rahmatullah pada 28 Mei 2025 (Rabu).
Perkhabaran duka itu dikongsi oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul Kuala Lumpur menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka.
Menerusi catatan itu, pihak PPD turut menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
"Semoga ALLAH SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," demikian tulis mereka ringkas namun penuh makna.
Walaupun tiada maklumat lanjut mengenai punca kematian dikongsikan oleh pihak sekolah mahupun keluarga, namun pemergian Cikgu Muhammad Rafizol tetap memberi kesan mendalam kepada warga pendidik, rakan sekerja, anak murid serta komuniti pendidikan di sekitar Sentul khususnya.
Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Cikgu Rafizol.
Arwah bukan sekadar mengajar Matematik tetapi turut mendidik erti sabar dan hormat. Terima kasih atas jasa cikgu selama ini. Moga cikgu tenang di sana.
Al-Fatihah.