Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Libatkan MPP dan Kesatuan Mahasiswa dalam proses merangka garis panduan aktiviti hiburan di IPT

AZLEENDA SAHALUDIN
05 Sep 2023 02:08pm
A
A
A

Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengarahkan penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kesatuan Mahasiswa (KM) dalam proses merangka Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institut pendidikan tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Arahan yang dikeluarkan itu adalah selari dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahukan suara serta keperluan mahasiswa diambil kira dalam merangka garis panduan tersebut.

"Selaras pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi supaya Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT perlu dirangka dan disediakan oleh mereka melalui pembabitan MPP dan KM, maka JPT mengarahkan pengurusan IPT untuk memastikan MPP dan KM dilibatkan dalam proses perangkaan garis panduan berkenaan.

"Ia mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaian di setiap IPT dan lokaliti sebelum ia diguna pakai secara rasmi di peringkat IPT masing-masing," kata JPT dalam satu kenyataan pada Selasa.

JPT memaklumkan, ruang serta peluang yang diberikan dengan penglibatan penuntut ini adalah satu elemen pemerkasaan mahasiswa selaku pemegang taruh utama selain menepati agenda yang dibawa oleh KPT.

Mengenai Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT yang sebelum ini tular di media sosial, JPT menegaskan, ia masih di peringkat saranan sebagai rujukan IPT dalam membangunkan garis panduan masing-masing.

Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, KPT menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap IPT untuk menentukan garis panduan sebarang aktiviti hiburan yang hendak diadakan di institusi pengajian mereka.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok