HomeBuletinLZS beri bantuan RM500 kepada guru tahfiz dan RM1,500 kepada tahfiz

LZS beri bantuan RM500 kepada guru tahfiz dan RM1,500 kepada tahfiz

KLANG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi bantuan sebanyak RM500 setiap seorang kepada 1,000 guru tahfiz dan sumbangan RM1,500 bagi kesemua 250 buah tahfiz di Selangor dalam usaha membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, bantuan itu akan diberikan dalam masa terdekat menerusi 19 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli yang bermatlamat membantu institusi agama di negeri itu.

“Bantuan ini adalah sebagai permulaan, kita akan lihat keperluan lain yang diperlukan oleh mereka, insya-ALLAH dan bantuan ini diberikan secara sekali bayar,” katanya kepada media selepas Majlis Serahan Set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) Pengurusan Jenazah Covid-19 di Masjid Jamek Ar-Rahimiah,Klang baru-baru ini.

Terdahulu, Saipolyazan menyerahkan sumbangan sebanyak 7,000 set PPE bernilai RM385,000 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, bagi kegunaan petugas pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

Sumbangan sebanyak 7,000 set PPE bernilai RM385,000 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor bagi kegunaan petugas pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

Saipolyazan berkata, sumbangan tersebut adalah untuk memastikan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sekali gus menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

Sumbangan PPE tersebut meliputi kelengkapan sut PPE, sarung penutup kasut but, sarung penutup kepala, pelitup muka N95, apron, tudung penutup kepala, sarung tangan getah, pelindung muka dan cecair sanitasi yang akan digunakan oleh petugas pengurusan jenazah. – BERNAMA