DSCF5389 (1)
DSCF5389 (1)

LZS perkenalkan lima modul pendidikan zakat untuk pelajar sekolah bawah seliaan Jais

Norliza Wasilan
05 Sep 2022 12:04pm
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan lima modul pendidikan zakat kepada 553 buah sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk melahirkan generasi celik zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LSZ, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, modul satu akan membabitkan murid Tahun Enam, manakala bagi modul dua hingga lima pula adalah untuk pelajar peringkat menengah.

Menurutnya, pelaksanaan pembangunan modul itu membabitkan peruntukan Fisabilillah dengan jumlah keseluruhan RM248,000.

Ujarnya, sebanyak 70,000 naskah buku dicetak bagi kegunaan 16,956 pelajar sekolah menengah dan 251,456 pula bagi sekolah rendah.

“Modul ini telah digunakan sejak Mac lalu di sekolah rendah dan Sekolah Menengah Agama (SMA), Maahad Tahfiz Integrasi Selangoor, Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan KAFA Integrasi.

“Silibus ini dibangunkan khusus untuk mata pelajaran zakat dalam sistem pendidikan yang merangkumi aspek penilaian peperiksaan di peringkat rendah (satu modul) dan menengah (empat modul membabitkan Tingkatan Satu hingga Empat).

“Kandungan modul ini antaranya membabitkan perkara asas seperti ibadah zakat, pengertian zakat, rukun zakat, jenis zakat, pengurusan zakat di Selangor (kutipan dan agihan), pengiraan zakat, prinsip agihan, pengurusan amil, perundangan dan fatwa,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Zakat Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Setiausaha MAIS merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Mengulas lanjut, Mohd Sabirin berkata, inisiatif membudayakan zakat melalui pendidikan adalah strategi jangka panjang LZS untuk memupuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar yang bakal menjadi pengeluar zakat nanti.

“Bagi melihat keberkesanan pembelajaran silibus ini, LZS telah bekerjasama dengan Bahagian Pendidikan Islam JAIS bagi memantau pelaksanaan modul ini dari semasa ke semasa”, ujarnya.

Selain itu, beliau juga berharap pendidikan zakat dapat diperluaskan sehingga ke sekolah harian di bawah Kementerian Pendidikan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Ketika ini, LZS telah mula melaksanakan inisiatif memperkenalkan pendidikan zakat di IPT seperti di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kita juga berharap akan mendapat sokongan daripada IPT lain di Selangor khususnya dan Malaysia umumnya untuk memperkenalkan pendidikan zakat ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan

UUM terima zakat RM10,000, bantu tingkatkan pendidikan

Seramai 268,412 pelajar sekolah seliaan JAIS didedahkan dengan 5 modul pendidikan zakat

LZNK berhasrat laksana modul pertahanan awam di semua sekolah Zakat Kedah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok