No Image Caption

MA63: KPM perkukuh pendidikan Sabah dan Sarawak

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
13 Sep 2024 04:41pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi hasil Mensyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah membincangkan keperluan merunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak bagi melantik pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar bagi mengisi kekosongan serta pemangkuan jawatan.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu akan dilaksanakan sebelum Menteri Pendidikan membuat kelulusan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Menurut kementerian itu lagi, langkah kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) telah membuahkan hasil yang positif apabila KPM bersetuju sepenuhnya dengan sepuluh (10) tuntutan yang dikemukakan kerajaan negeri Sarawak.

“Ini termasuk usaha mengukuhkan penglibatan KPM, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Selain itu, pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan serta keutamaan serta pelibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan,” katanya.

KPM juga bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh kerajaan negeri atau mana-mana pihak lain, selain KPM kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa.

“KPM, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bekerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua buah negeri agar ia terus dipertingkatkan dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok