No Image Caption

Malang tidak berbau, 6 pelajar cedera bas sekolah terbabas

24 Feb 2025 06:56pm

Enam pelajar cedera selepas bas sekolah dinaiki terbabas di Jalan Sungai Mas-Padang Kubu, berhampiran kilang kelapa sawit Jalan Pelantoh, Kemaman, Terengganu pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.50 pagi ketika 32 pelajar itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih di sini.

Beliau berkata, bas dipandu lelaki berusia 61 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan dan kemudian tergelongsor ke sebelah kanan jalan.

"Dua pelajar terbabit kini dirawat di Klinik Kesihatan Seri Bandi manakala empat yang lain di Hospital Kemaman," maklumnya menerusi satu kenyataan.

Mohd Razi berkata, saringan air kencing mendapati pemandu itu bebas daripada pengaruh dadah dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu, katanya boleh menghubungi pegawai penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah menerusi talian 013-5214992 untuk membantu siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp