Anwar (kiri) bersama Christopher Luxon di Dataran Perdana, Putrajaya sempena lawatan tiga hari ke Malaysia.
Anwar (kiri) bersama Christopher Luxon di Dataran Perdana, Putrajaya sempena lawatan tiga hari ke Malaysia.

Malaysia harap lebih ramai pelajar lanjut pelajaran dalam bidang baharu di New Zealand

02 Sep 2024 01:58pm

Malaysia berharap New Zealand dapat menimbangkan kemungkinan melonggarkan kemasukan lebih ramai pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang baharu di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia khususnya bagi program pascasiswazah dalam bidang-bidang baharu di mana New Zealand telah menunjukkan kepakarannya, termasuk bidang pengajian berkaitan peralihan tenaga dan teknologi makanan.

"Kita juga berharap jumlah penerima Biasiswa Perdana Menteri New Zealand bagi Asia untuk belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia, agar dapat ditingkatkan.

"Pada masa yang sama, kami juga ingin menjemput pelajar New Zealand untuk memohon Biasiswa Antarabangsa Malaysia dan menimba pengalaman mengenai kepelbagaian budaya dan warisan di negara ini," katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya Christopher Luxon, selepas mereka mengadakan mesyuarat dua hala di sini, Isnin.

Luxon berada di sini untuk lawatan rasmi tiga hari hingga esok (Selasa) untuk meningkatkan kerjasama dan perbincangan dua hala.Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada bulan November 2023.

Anwar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan yang berjaya hari ini dengan Luxon mengenai usaha untuk mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin dalam bidang-bidang yang digariskan dalam perkongsian strategik iaitu; kemakmuran, rakyat, planet; dan keamanan dan keselamatan.

Beliau berkata, kedua-dua mereka telah membangkitkan banyak isu yang menyentuh kebimbangan bersama dan meninjau langkah ke arah meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Ia termasuk sektor perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian, pendidikan, pertahanan dan keselamatan dan sektor halal.

Sementara itu, Luxon menyifatkan Malaysia sebagai rakan Asia tertua New Zealand.

"Selaras dengan perkongsian strategik keseluruhan, Anwar dan saya hari ini bersetuju untuk menyuntik lebih banyak momentum ke dalam kerjasama kami serta sedang mengembangkan kerjasama pertahanan, termasuk dengan mengerahkan salah satu pasukan PA Poseidon baharu Tentera Udara New Zealand kami ke Butterworth untuk menjalani latihan bersama," katanya.

Sehingga 2023, 24 projek pelaburan oleh syarikat New Zealand telah diluluskan bernilai RM238.28 juta (AS$79.9 juta); menjana 1,137 pekerjaan kepada tenaga kerja Malaysia. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp