
Matriks Pembelajaran Malaysia Tahun 4, Tingkatan 3 fokus intervensi, pengukuhan kurikulum
Pendekatan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga bukan semata-mata sistem peperiksaan awam, sebaliknya satu kaedah penilaian yang menumpukan kepada sokongan awal pembelajaran secara berperingkat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan berkonsepkan ujian itu diperkenalkan bagi memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan guru dan pihak sekolah merancang langkah pengukuhan kurikulum yang bersesuaian.
"Pelaksanaan matriks pembelajaran Tahun Empat dibuat bagi memastikan masih terdapat tempoh dua tahun untuk melaksanakan intervensi, sekiranya kelemahan atau jurang pembelajaran dapat dikenal pasti pada peringkat awal (sebelum memasuki Tingkatan Satu).
"Secara keseluruhannya, matriks pembelajaran berperanan sebagai mekanisme intervensi dan pengukuhan pembelajaran selain menyokong pelaksanaan kurikulum baharu," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035.
Matriks Pembelajaran Malaysia akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan selaku badan berwajib, bertujuan mewujudkan keyakinan awam terhadap ujian itu dan bagi Tahun Empat ia akan dilaksanakan Oktober tahun ini, manakala Tingkatan Tiga pada 2027.
Ia melibatkan empat mata pelajaran bagi Tahun Empat, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, manakala Tingkatan Tiga melibatkan lima mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Menurut Fadhlina, matriks pembelajaran juga secara tidak langsung akan mempersiapkan murid untuk menghadapi tiga penilaian antarabangsa, iaitu Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM).
Dalam pada itu, beliau berkata, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak dikembalikan memandangkan ia sudah tidak sesuai dengan pelajar sekarang.
"...matriks pembelajaran ini jauh lebih baik daripada UPSR dan PT3 kerana ruang lingkupnya adalah penambahbaikan dan intervensi," katanya.
RPN 2026-2035 ialah langkah reformasi pendidikan bagi membina masa hadapan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Pelan pendidikan baharu itu melibatkan dua kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara, daripada peringkat sekolah sehingga pendidikan tinggi. - Bernama
Ringkasan AI
- Pendekatan Matriks Pembelajaran Malaysia diperkenalkan untuk menilai murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga secara berperingkat dan bukan hanya sebagai sistem peperiksaan awam
- Matriks pembelajaran bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid lebih awal untuk membolehkan pengukuhan kurikulum
- Pelaksanaan ini melibatkan empat mata pelajaran bagi Tahun Empat dan lima bagi Tingkatan Tiga, bertujuan menyokong kurikulum baharu
- Ujian ini dijadwalkan pada Oktober tahun ini untuk Tahun Empat dan 2027 untuk Tingkatan Tiga, dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan
- Matriks pembelajaran diasaskan untuk mempersiapkan murid menghadapi penilaian antarabangsa dan dianggap lebih baik daripada UPSR dan PT3 yang tidak dikembalikan