
Melakar sejarah! 3 saintis muda negara terpilih ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau di Jerman
Tiga saintis muda negara terpilih menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang akan berlangsung pada 29 Jun hingga 4 Julai depan di Jerman.
Mereka ialah pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Gunaan (Kimia Gunaan), Universiti Teknologi Petronas, Dr Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30; pensyarah kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34; dan pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Mak Kit Kay, 33.
Menurut kenyataan media Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mesyuarat berprestij itu menghimpunkan lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara untuk berdialog dan bertukar pandangan bersama kira-kira 35 penerima Hadiah Nobel dalam bidang kimia.
"Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada 1951 bertujuan menggalakkan dialog merentas generasi, disiplin sains dan budaya.
"Setiap tahun, mesyuarat ini memberi tumpuan kepada satu bidang sains secara bergilir-gilir," maklum MOSTI.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyifatkan, pemilihan tiga saintis muda itu membuktikan keupayaan bakat tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa, selain selaras dengan usaha berterusan kementerian dalam membina ekosistem penyelidikan dan pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mampan.
"Interaksi dengan tokoh penerima Hadiah Nobel ini bukan sahaja akan memperluas perspektif saintis muda negara, malah turut memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menceburi bidang sains dan inovasi," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, penyertaan ketiga-tiga anak muda itu membuka ruang kepada kolaborasi antarabangsa yang boleh membawa impak besar kepada pembangunan penyelidikan negara.
"Program ini bukan sekadar platform bertemu pemikir hebat dunia, malah turut memberi peluang kepada peserta mempamerkan hasil penyelidikan, membina jaringan global dan mencorakkan masa depan penyelidikan Malaysia," tambah beliau.
Terdahulu, peserta yang terpilih ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 akan mengikuti aktiviti seperti syarahan, diskusi Agora dan forum panel.
Dalam masa sama, ia turut membuka ruang peserta menjalin jaringan penyelidikan dan membina hubungan kolaboratif bersama rakan serta mentor dari seluruh dunia.
Sinar Bestari mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tiga tokoh muda ini.
Semoga pencapaian mereka menjadi pembakar semangat kepada pelajar Malaysia untuk terus mencipta impak dalam dunia sains dan teknologi!