No Image Caption

Mengenang PM kelima, Asyraf Wajdi cadang tukar nama MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Badawi

16 Apr 2025 06:00pm

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi bagi mengenang jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.

"Sebagai mengenang jasa Almarhum Pak Lah (Tun Abdullah), saya akan mendapatkan persetujuan Menteri KKDW (Ahmad Zahid) untuk menamakan MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Badawi," katanya menerusi hantaran di Instagram, pada Rabu.

Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir pada 7.10 malam, di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Jenazah Tun Abdullah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Selasa, mengikut Istiadat Pengebumian Negara yang turut dihadiri pemimpin tertinggi negara, kenamaan dan rakyat pelbagai lapisan masyarakat bagi memberikan penghormatan terakhir.

Allahyarham yang juga bekas Menteri Pendidikan dan Menteri Luar Negeri dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003, dikenang sebagai pemimpin berjiwa lembut dan bersederhana, yang banyak menekankan prinsip Islam Hadhari dan memperkukuh dasar pentadbiran berteraskan integriti serta ketelusan.

Untuk rekod, MRSM Kepala Batas terletak di kawasan Parlimen yang pernah diwakili Tun Abdullah selama tujuh penggal dari tahun 1978 hingga 2008. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp