Pelajar dinasihatkan menumpukan perhatian kepada topik utama dan soalan yang kerap keluar dalam peperiksaan. Latihan percubaan peringkat negeri atau kertas SPM sebenar boleh dijadikan panduan yang berkesan. Gambar kecil: Mohd Nadzri
Pelajar dinasihatkan menumpukan perhatian kepada topik utama dan soalan yang kerap keluar dalam peperiksaan. Latihan percubaan peringkat negeri atau kertas SPM sebenar boleh dijadikan panduan yang berkesan. Gambar kecil: Mohd Nadzri

Menjelang SPM: Usaha, restu ibu bapa & kesihatan mental jadi kunci kejayaan

21 Nov 2025 11:56am

Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 25 November ini.

Bagi sebahagian pelajar, masa yang tinggal mungkin terasa singkat, namun sebenarnya masih belum terlambat untuk memperbaiki persiapan.

Teruskan fokus dan gunakan baki waktu ini sebaik mungkin untuk mencipta keputusan yang membanggakan.

Menurut Penceramah Bebas Pendidikan, Belia dan Sukan, Mohd Nadzri Abd Rahman, ramai pelajar menganggap semakin dekat peperiksaan, semakin lama mereka perlu belajar. Hakikatnya, kualiti belajar lebih penting daripada kuantiti masa.

Katanya, pelajar digalakkan belajar secara fokus dalam tempoh tertentu, kemudian berehat seketika sebelum kembali belajar.

"Cara ini membantu minda mengekalkan tumpuan, menyerap maklumat dengan lebih baik dan mengelak keletihan.

"Fokuskan kepada topik penting dan soalan yang sering keluar dalam peperiksaan. Gunakan latihan percubaan negeri atau kertas SPM sebenar sebagai panduan.

"Untuk subjek kiraan, banyakkan latihan soalan sebenar. Subjek hafalan pula, buat nota ringkas, peta minda atau kad imbasan agar mudah diingati dan cepat ulang kaji," katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Nadzri, di saat akhir ini, tekanan mudah datang tanpa disedari.

Malah katanya, ramai pelajar sanggup berjaga malam hingga lewat pagi kononnya mahu mengulang kaji lebih lama.

No Image Caption

"Kajian menunjukkan otak yang cukup rehat jauh lebih berkesan menyimpan maklumat.

"Luangkan masa untuk rehat atau senaman ringan. Otak yang cerdas lahir daripada badan yang sihat," ujarnya yang merupakan Pengarah Harith Mind Excel Centre, Pengarah Pusat Tuisyen Fokus Kumpulan Kecil HMEC dan Timbalan Pengerusi Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia. 

Selain usaha, Mohd Nadzri berkata, antara kekuatan paling besar dalam melakar kejayaan adalah doa dan restu ibu bapa.

"Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, minta doa dan maaf daripada mereka. Restu itu memberi ketenangan hati dan keberanian luar biasa.

"Setiap pelajar ada kelebihan tersendiri. Jangan bandingkan diri dengan orang lain. Fokus kepada kekuatan diri dan percayalah bahawa setiap langkah kecil hari ini membawa makna besar pada masa depan," jelasnya.

Bukan garisan tamat

SPM bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada perjalanan lebih luas.

Ada yang melanjutkan pelajaran, ada yang memilih bidang kemahiran atau terus bekerja.

Apa jua laluan, nilai sebenar terletak pada kejujuran dalam usaha dan semangat pantang menyerah.

No Image Caption

Mohd Nadzri berkata, kejayaan bukan milik mereka yang paling bijak, tetapi milik pelajar yang tidak pernah berhenti mencuba.

"Kepada semua calon SPM, gunakan masa yang tinggal ini dengan bijak. Jangan tunggu semangat datang baru mahu belajar sebaliknya mulakan dahulu dan semangat itu akan hadir seiring dengan usaha.

"Lebih baik berusaha sekarang daripada menyesal kemudian. Percayalah, setiap titik peluh dan doa yang disertai kesungguhan tidak akan sia-sia.

"Selamat maju jaya, calon SPM. Masa depan menanti mereka yang berani mencuba," akhiri beliau.

 

 

Ringkasan AI

  • Peperiksaan SPM akan bermula pada 25 November ini
  • Kualiti belajar lebih penting daripada kuantiti
  • Latihan dan ulang kaji berfokus kepada topik penting dan soalan yang sering keluar
  • Rehat dan senaman ringan penting untuk otak berkesan menyerap maklumat
  • Doa dan restu ibu bapa memberi ketenangan hati dan keberanian
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp