
SPM 2025 bermula 3 November hingga 23 Disember - KPM
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 membabitkan 413,372 calon akan bermula Isnin ini (3 November) hingga 23 Disember di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 3 hingga 6 November manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November.
"Ujian Amali Sains pula akan berlangsung pada 17 hingga 19 November, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diadakan pada 20 November.
"Peperiksaan bertulis pula akan berlangsung pada 25 November hingga 23 Disember ini," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Menurut kenyataan itu, semua calon diingatkan merujuk jadual waktu peperiksaan SPM 2025 bagi mengetahui maklumat lengkap tarikh, waktu, kod dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
Jadual waktu peperiksaan juga boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.
Menurut KPM, calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Penyata Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi semua prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.
"KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan Penyakit Seperti Influenza (ILI) sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2025 berlangsung," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPM memaklumkan pihaknya siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan.
"Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat atau terkesan dengan bencana. Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara," maklum KPM.
KPM menegaskan akan terus melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2025 dilaksanakan dengan lancar dan teratur. - Bernama
Ringkasan AI
- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 membabitkan 413,372 calon akan bermula pada 3 November hingga 23 Disember di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara
- Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 3 hingga 6 November dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November
- Ujian Amali Sains akan diadakan pada 17 hingga 19 November, manakala Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 20 November
- Kementerian Pendidikan (KPM) telah melantik 127,526 petugas peperiksaan untuk memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan
- Calon diminta mematuhi semua prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan serta membawa dokumen pengenalan diri dan Penyata Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan