Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek

Menteri Pendidikan, Fadhlina ucap selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2022

AZLEENDA SAHALUDIN
20 Feb 2023 11:52am
A
A
A

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendoakan kejayaan kepada pelajar yang mula menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula hari ini hingga 15 Mac depan.

Beliau mengucapkan selamat maju jaya serta menasihati pelajar untuk sentiasa fokus, dengar dan sabar ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor pada Isnin.

Fadhlina berkata, lawatan itu dilakukan untuk memberi semangat kepada pelajar selain membuat tinjauan persiapan sekolah dan Lembaga Peperiksaan (LP).

Seramai 232 calon SMK Jalan Empat serta 120 calon persendirian yang terdiri daripada pelajar sekolah swasta dan calon ulangan menduduki SPM.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu vandalisme yang berlaku di sebuah sekolah di Pulau Pinang pada 18 Februari lalu, Fadhlina memaklumkan siasatan telah selesai dilakukan.

Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek

Tuturnya, pelajar serta ibu bapa terbabit telah dipanggil untuk menjalani proses intervensi dan kaunseling yang melibatkan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

Beliau menegaskan kepada semua pihak untuk tidak terus menularkan rakaman video tersebut demi menjaga identiti pelajar dan sekolah supaya tidak mengganggu proses intervensi yang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Saya faham ramai yang berasa marah terhadap kejadian tersebut namun saya fikir pelajar ini perlu diberi peluang melalui teguran, didikan dan kaunseling yang berterusan.

“Malah ibu bapa, guru dan kaunselor juga memainkan peranan penting dalam memastikan isu sebegini tidak akan berulang lagi pada masa depan,” katanya.

Mengulas pula mengenai isu ujian mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) SPM 2022 yang berlangsung pada 16 Februari lalu, Fadhlina memberitahu LP telah memberi penjelasan tentang proses merakam telah dilaksanakan lebih awal dan tidak timbul isu penggunaan pempengaruh TikTok dalam perkara itu.

LP juga sebelum ini telah menafikan dakwaan penggunaan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara ketika UMBI 2022 dan menyatakan bahawa pelontar suara yang digunakan adalah terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

“KPM dan LP akan sentiasa memastikan isu integriti berjalan dengan betul dan ia mengambil kira semua aspek kesahihan dan kredibiliti untuk suara yang direkod dalam peperiksaan,” ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok