Mickey Mouse dan Minnie Mouse dalam program Amalan Guru Penyayang
Mickey Mouse dan Minnie Mouse dalam program Amalan Guru Penyayang

Mickey Mouse dan Minnie Mouse dalam program Amalan Guru Penyayang

Azliyana Sulaiman
26 Mar 2021 08:11am
A
A
A

Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah menjemput dua watak Disney iaitu Mickey Mouse dan Minnie Mouse dalam program Amalan Guru Penyayang, baru-baru ini.

Kehadiran dua maskot itu bertujuan menyambut kehadiran murid yang datang ke sekolah seawal jam 6.30 pagi.  

Selain dikejutkan dengan Mickey Mouse dan Minnie Mouse, murid-murid yang hadir pada awal pagi turut diberikan sedikit cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada mereka.  

Pada program Amalan Guru Penyayang itu juga, turut diadakan acara serahan pelitup muka sumbangan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) kepada murid-murid yang datang ke sekolah.

Terdahulu, Amalan Guru Penyayang dirasmikan Guru Besar, Norizam Mohd Junid bersama Naib Yang Dipertua PIBG, Zuhirwan Hasan dalam majlis ringkas di sekolah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Selain warga sekolah, majlis turut dihadiri dua wakil pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Johor.

Sementara itu, Cikgu Norizam berkata, program Amalan Guru Penyayang bertujuan meningkatkan motivasi diri dan mensasarkan kehadiran penuh murid-murid ke sekolah.

“Ia juga langkah penting dalam membina sahsiah diri dan amalan baik setiap warga sekolah yang berfokus kepada sifat kepedulian dan amalan nilai kasih sayang serta prihatin terhadap keperluan murid,” katanya.

Menyedari bahawa setiap murid adalah aset berharga kepada sekolah, beberapa program disusun atur secara berfasa untuk melahirkan murid yang cemerlang dan gemilang dalam setiap aspek melalui peningkatan minat murid untuk sentiasa hadir ke sekolah.

Ini membantu kepada meningkatkan kualiti pendidikan dan proses kemenjadian murid yang holistik dan lebih berfokus.

Artikel menarik

'Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah'

Kebaikan LMS dalam pengajaran dan pembelajaran guru

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok