Minat STEM meningkat 10 peratus dalam masa dua tahun
Peratusan pendaftaran subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi Tingkatan Empat setakat Julai lalu mencecah 50.83 peratus sekali gus meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2021.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dalam masa dua tahun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menubuhkan sebuah ‘task force’ untuk memastikan minat pelajar dalam penglibatan STEM dapat ditingkatkan.
“Peratusan pendaftaran pada tahun 2021 adalah dalam lingkungan 41 peratus, memaparkan peningkatan sebanyak 10 peratus.
“Ini merupakan salah satu hasil yang kita boleh nampak dari segi pemupukan subjek STEM,” katanya selepas merasmikan acara Explorasi Merdeka JPWPKL @Muzium 2024 di Muzium Negara, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyatakan KPM sedang dalam usaha kolaborasi bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam penganjuran Sains, Teknologi Inovasi 100 kuasa tiga (STI 100³), program melibatkan 100 saintis masuk 100 sekolah dalam masa 100 hari.
“Pihak KPM dan MOSTI sedang dalam usaha untuk mengatur program-program dalam beberapa bulan yang akan datang ini sehingga hujung tahun.
“Program ini akan bersambung pada tahun hadapan dalam dua kitaran, iaitu kitaran pertama dari Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember bagi kitaran kedua,” katanya.