Minggu Sains Negara 2024 sasar penglibatan 600,000 peserta
Seramai 600,000 pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi serta masyarakat umum disasarkan terlibat dalam Minggu Sains Negara (MSN) 2024 yang akan berlangsung di seluruh negara secara hibrid sehingga Oktober ini.
Bertemakan 'Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi', Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam kenyataan memaklumkan MSN 2024 bertujuan memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, langkah itu sebagai usaha membina bakat berkemahiran tinggi bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
"Pelaksanaan MSN 2024 selari dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta agenda Malaysia Madani agar bidang STEM diberikan tumpuan untuk mencipta bakat seiring dengan kepesatan pembangunan sains, teknologi dan inovasi seterusnya memenuhi keperluan industri khususnya dalam sektor-sektor teknologi membangun seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), robotik, blok rantai, data raya dan sebagainya.
"Justeru, objektif utama penganjuran MSN 2024 untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kehidupan seharian, menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih jurusan STEM selaras agenda STEM Negara serta untuk mendidik masyarakat dalam menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta kejayaan dalam bidang sains," katanya.
Beliau berkata, MSN 2024 secara rasminya dilancarkan pada Selasa dan akan melibatkan penganjuran secara karnival selain aktiviti dalam talian.
Aktiviti dan pertandingan MSN 2024 katanya, berdasarkan tujuh bidang fokus utama iaitu Kesihatan Planet; Kimia dan Bioteknologi; Kegunaan Aman Nuklear; Inovasi Sosial; Kejuruteraan dan Kecerdasan Buatan; Nanoteknologi serta Angkasa.
"Oleh yang demikian, seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Karnival MSN 2024 yang akan dianjurkan serta mengikuti program-program pengisian yang telah disediakan secara dalam talian," katanya.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan boleh diikuti menerusi platform MSN 2024 di www.minggusainsnegara.mosti.gov.my.- Bernama