Pelajar sedang menjalani program pengajian di universiti juga berpeluang belajar secara dalam talian dan memohon pindahan kredit. Gambar kecil: Zahiruddin Fitri.
Pelajar sedang menjalani program pengajian di universiti juga berpeluang belajar secara dalam talian dan memohon pindahan kredit. Gambar kecil: Zahiruddin Fitri.

Tempoh pengajian universiti lebih singkat dengan 'microcredential'

ZAHIRUDDIN FITRI ABU HASSAN
03 Apr 2024 07:30am
A
A
A

Sejak tahun 2017, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membenarkan sehingga 30 peratus daripada keperluan kredit untuk pengijazahan diambil secara kursus dalam talian dan dibuat secara pindahan kredit oleh pelajar universiti setelah memenuhi syarat tertentu.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kini boleh memulakan pengajian universiti mereka dalam bidang pilihan tanpa menunggu panggilan atau pendaftaran sebagai pelajar mana-mana universiti atau institut pengajian tinggi lain.

Dengan cara itu, mereka dapat mencapai dua matlamat penting. Pertama, meringankan beban pengajian, apabila hanya perlu melengkapkan baki jumlah 70 peratus kredit pengijazahan dengan kursus yang perlu diambil secara bersemuka pada keseluruhan tempoh pengajian.

Kedua, kemungkinan untuk memendekkan tempoh pengajian, oleh kerana telah menyelesaikan sehingga 30 peratus daripada keperluan kredit untuk pengijazahan secara pembelajaran kendiri.

Bagi memudahkan kefahaman, mari kita buat andaian berdasarkan situasi seorang pelajar lepasan STPM bernama Balqis yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sains Aktuari.

Balqis boleh menyemak dan meneliti struktur kurikulum Sains Aktuari di laman sesawang UM dan mendapatkan senarai kursus bagi program itu sebagai persediaan untuk mengenal pasti kursus yang bakal dipelajari apabila beliau mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa pada semester satu nanti.

Balqis boleh membandingkan senarai kursus ini, dengan mana-mana kursus dalam talian yang berkaitan, sama ada ia ditawarkan oleh UM atau universiti lain dari dalam dan luar negara.

Dengan mengambil kira pernyataan Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) yang berpadanan dengan kursus ditawarkan oleh UM, Balqis boleh belajar secara kursus dalam talian, sementara menunggu tawaran panggilan masuk ke universiti, bagi membolehkan mendapatkan sijil microcredential yang menyatakan dirinya telah mencapai CLO berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Berbekalkan sijil microcredential dari kursus atau gabungan kursus dalam talian ini, Balqis berpotensi memohon pindahan kredit daripada UM untuk mana-mana kursus berkaitan.

Setelah diterima masuk ke UM, Balqis perlu membuat permohonan pindah kredit bagi kursus yang beliau telah lengkapkan.

Apabila menerima permohonan daripada Balqis, UM akan memulakan satu proses pindahan kredit yang melibatkan pengesahan bahawa sijil microcredential Balqis adalah tulen dan mempunyai kuasa untuk mengesahkan bahawa keseluruhan CLO yang perlu dicapai dapat dibuktikan dengan melihat kepada pencapaian penilaian dari platform tersebut.

UM juga boleh membuat penilaian khas kepada Balqis bagi pencapaian CLO kepada kursus yang hendak dipindah kredit. Sekiranya berjaya, kredit daripada sijil microcredential akan direkodkan sebagai sebahagian daripada pencapaian kredit untuk bergraduat dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari Universiti Malaya.

Pelajar yang sedang menjalani program pengajian di universiti juga berpeluang belajar secara dalam talian dan memohon pindahan kredit kepada mana-mana kursus yang belum diambil secara konvensional.

Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan secara maksimum oleh para remaja lepasan SPM dan STPM yang merupakan generasi Gen-Z dilihat sebagai VUCA (tidak stabil-volatile, tidak pasti-uncertain, rumit-complex dan kabur-ambiguous).

Microcredential merupakan trend jangka panjang yang dilihat oleh ramai pakar sebagai masa depan sektor pendidikan.

Ia mendokong budaya pendidikan sepanjang hayat dan semakin mendapat tempat dalam kalangan majikan sebagai model pendidikan just in time untuk kemahiran khusus diperlukan bagi menghadapi cabaran dunia perniagaan yang sentiasa berubah.

Tidak hairanlah apabila syarikat gergasi teknologi seperti Microsoft dan Google, masing-masing menawarkan kursus dalam talian mereka sendiri dengan sijil berbentuk digital badge dan microcredential dalam bidang keperluan IT seperti perkomputeran awan, sekuriti siber, kecerdasan buatan (AI), sains data serta lain-lain.

Manakala, LinkedIn yang merupakan pelantar perniagaan dan juga profesional, menawarkan kursus dalam talian merangkumi kemahiran perniagaan, kreatif dan perisian.

Mereka yang ingin mendapatkan perkerjaan lebih baik ataupun merunding kenaikan pangkat serta gaji, mula menggunakan kelayakan microcredential sebagai sandaran bagi membuktikan kemahiran yang mereka miliki sekali gus menambah keyakinan juga kepercayaan kepada majikan.

Untuk rekod, kursus dalam talian secara microcredential adalah model pendidikan masa hadapan yang sedang merubah lanskap pendidikan tinggi dan juga alam pekerjaan.

Peluang telah tersedia bagi pelajar lepasan SPM dan STPM bagi memulakan pembelajaran pendidikan tinggi secara dalam talian dari universiti dan profesor ternama dunia serta memindahkan pula kredit pengajian tersebut bagi mendapatkan ijazah mereka.

Maklumat Penulis

Mantan Ketua eLearning, Pusat Pembangunan dan Pengayaan Akademik (ADEC), Universiti Malaya, Dr Zahiruddin Fitri Abu Hassan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok