PASM bertujuan mengiktiraf kebolehan dan keupayaan MBPK menerusi penganugerahan SASM.
PASM bertujuan mengiktiraf kebolehan dan keupayaan MBPK menerusi penganugerahan SASM.

Misi bantu murid pendidikan khas

ROSHLAWATY MD RAIEH
26 Feb 2024 06:24pm
A
A
A

Sistem Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan satu bentuk pentaksiran khusus untuk mentaksir kemampuan dan kebolehan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) bagi membangunkan potensi berdasarkan konsep mengesan kebolehan dalam ketidakbolehan.

Menurut KPM dalam kenyataan media, pada Isnin, PASM bertujuan mengiktiraf kebolehan dan keupayaan MBPK menerusi penganugerahan Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM).

“MBPK di sekolah menengah yang tidak menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM) boleh menduduki PASM dan memperoleh SASM.

“PASM terbuka kepada semua MBPK yang berada di institusi pendidikan berdaftar dengan KPM dan dilaksanakan secara berterusan ketika calon PASM berada pada peringkat menengah dengan menggunakan Environment-based Assesment Instrument (EBAI) dan Dokumen Standard Pentaksiran Alternatif,” ujar KPM.

Kata KPM lagi, PASM dilaksanakan secara sistematik dan berbantukan teknologi bermula daripada pendaftaran hingga ke pensijilan SASM.

“Melalui kaedah pentaksiran alternatif ini, ibu bapa atau penjaga MBPK dapat mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak.

“Ia merangkumi lima domain utama iaitu Kerohanian dan Nilai Murni; Akademik Fungsian; Pembangunan Personal dan Kemahiran; Interpersonal; Hidup Berdikari dan Pembangunan Kerjaya,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, KPM memberitahu, pihaknya sentiasa berusaha memperkasakan pendidikan MBPK menerusi pengiktirafan, motivasi dan keyakinan bahawa mereka mempunyai potensi untuk cemerlang dalam sesuatu bidang.

Artikel Berkaitan:

Malah, murid MBPK yang tamat persekolahan diharapkan mempunyai sekurang-kurangnya kemahiran asas yang dapat membantu mereka menceburi bidang pekerjaan bersesuaian dengan tahap keupayaan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Malaysia MADANI.

Jelas kementerian ini lagi, usaha murni pelaksanaan PASM membuktikan komitmen berterusan KPM dalam memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan untuk semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Ia juga adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi KPM yang memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok