pexels-ivan-samkov-5676744
pexels-ivan-samkov-5676744

MQA mahu bawa APEL ke peringkat global

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Apr 2022 01:28pm
A
A
A

CYBERJAYA - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mahu membawa Pengiktirafan Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL) ke peringkat global bagi mempromosikan jenama APEL Malaysia melalui penubuhan Pusat Penilaian APEL di luar negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, inisiatif itu akan dijalankan melalui seminar dan bengkel yang melibatkan peserta luar negara.

Tambah beliau, MQA juga merancang untuk membuka APEL.A kepada pelajar antarabangsa dan bagi mempromosi serta memudahkan akses kepada APEL, pihaknya membenarkan institusi pengajian tinggi (IPT) yang layak menjadi pusat penilaian APEL bagi tujuan kemasukan pelajar secara dalaman melalui penilaian APEL dengan kelulusan MQA.

“MQA juga sudah membangunkan aplikasi APEL.A yang telah dilancarkan tahun lalu bagi memastikan capaian kepada APEL.A oleh calon yang memohon menjadi lebih mudah.

“Semua inisiatif ini akan memperluaskan lagi akses calon pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Hari Terbuka APEL, di Mercu MQA, di sini, pada Jumaat.

Khairul Salleh.

Turut hadir, Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti, Muhamad Amran Zainal Abidin dan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Abdul Razak Mohamed.

Pada sesi yang dijalankan secara langsung menerusi YouTube rasmi MQA itu, taklimat mengenai APEL turut disampaikan oleh Ketua Unit APEL, Pusat Pendidikan Profesional & Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Amirul Faiz Osman (APEL.A); Ketua Unit APEL Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Hamidah Mohd Ismail (APEL.C) dan Pengarah, Pusat APEL, Open University Malaysia (OUM), Dr Mohamad Afzhan Khan Mohamad Khalil.

Selain itu, slot perkongsian pengalaman Inpirasi Bersama Ikon APEL turut diadakan yang menampilkan Eizaz Azhar (Ikon APEL merangkap graduan APEL.A Tahap Tujuh) sebagai moderator, bersama tiga Ikon APEL lain yang juga graduan APEL.A iaitu Dewi Liana Seriestha, Norrazita Baharum dan Suzana Abu Bakar.

Sehingga hari ini, tiga jenis APEL sudah diperkenalkan oleh MQA iaitu APEL.A untuk akses kemasukan ke IPT, APEL.C bagi pemindahan kredit dan APEL.Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman individu.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Mengulas lanjut, Khairul Salleh berkata, objektif utama penganjuran Hari Terbuka APEL adalah untuk mempromosikan APEL supaya lebih ramai dapat memanfaatkan pelaksanaan APEL sebagai laluan alternatif untuk menyambung pengajian.

Katanya, sesi itu juga dapat memberikan maklumat mengenai pelaksanaan APEL yang menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat.

“Rakyat Malaysia menyambut baik pelaksanaan APEL.A sejak diperkenalkan bermula tahun 2011 bagi tujuan kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6) dan diteruskan dengan pembukaan laluan ke program Sijil (APEL T-3) serta Diploma (APEL T-4) pada tahun 2013.

“Pada tahun 2014, APEL.A ke program peringkat Ijazah Sarjana (APEL T-7) mula dilaksanakan dan seramai 6,405 calon telah melengkapkan proses penilaian APEL.A dengan kadar lulus adalah sebanyak 93.5 peratus calon (5,989),” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok