adib2
adib2

MQA rai graduan sulung COQAHE

Norliza WasilanNorliza Wasilan
25 Oct 2022 10:44am

Seramai 19 pegawai institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menjadi penerima sulung Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education (COQAHE) dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurut Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, graduan berkenaan berperanan sebagai sumber rujukan penting dalam ekosistem jaminan kualiti IPT yang mampu meningkatkan imej pendidikan.

Ujarnya, kumpulan itu akan memastikan jaminan kualiti dalaman (IQA) di IPT dapat memperkukuh skop penjaminan kualiti dilaksanakan MQA selaku badan akreditasi tunggal di negara ini.

Tambahnya, inisiatif program COQAHE yang dibangunkan sejak 2017 dan mula ditawarkan pada 2020 melalui Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC) itu menjadi satu daripada usaha membanggakan dalam 25 tahun sejarah penubuhan MQA.

“Pembangunan modul berstruktur ini telah dilaksanakan dengan gabungan pakar jaminan kualiti yang turut membabitkan pakar My Higher Education Quality Assurance Network (MyQan).

“Pada masa akan datang, MQA berhasrat menawarkan program ini di peringkat antarabangsa bagi membantu pembangunan kapasiti badan jaminan kualiti IPT di negara berkenaan,” ujarnya pada Majlis Graduasi COQAHE di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohd Khairul Adib. Foto/MQA.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Penerima berkenaan ialah Evelyn Gan dan Jefferson Sim Poh Phong dari Swinburne University Of Technology kampus Sarawak; Zainon Mustaffa dan Woon Hooi Shyne dari Asia School of Business; Profesor Madya Anbalagan Khrisnan dan Farah Farisha Mustafa dari Wawasan Open University; Ameizza Abd Wahab, Mazura Mohd Idris Gaspar dan Dr Amelia Ismail dari Bahagian Pendidikan Tinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Profesor Dr Azizah Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM); Dr Aidil Azli Alias dan Ts Dr Ade Syaheda Wani Marzuki dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Dr Ahmad Thamrini Fadlin Syed Mohamed dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM); Mohd Shafawi Sarbini dari International Centre of Education in Islamic Finance.

Norhueida Zainal Abdin dan Elya Sufliza Marson@Abdul Razak dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kampus Putrajaya; Salamah Ani dari University of Reading Malaysia; Choong Meng Sze dari Kolej Sunway Ipoh dan Siew Pui Fun dari Universiti HELP.

Mohammad Shatar. Foto/ MQA.

Sementara itu, ujar Mohammad Shatar, penganjuran program COQAHE adalah selaras dengan Bidang 7 dalam Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) 2.0 yang menetapkan setiap IPT perlu mempunyai unit IQA.

“Sifat dinamik pendidikan tinggi menuntut kita untuk lebih kreatif dan inovatif.

“Justeru, elemen pemudah cara perlu disuntik dalam diri Certified Officer ini untuk melaksanakan penjaminan kualiti bagi merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” tuturnya.

Artikel berkaitan

Jangan abaikan 7 tip penting ini untuk menjadi guru yang cemerlang

22 penyelidik UMP tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia

Hebat Alesyah, tersenarai 10 finalis terbaik dalam anugerah berprestij di dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp