HomeBuletinHebat Alesyah, tersenarai 10 finalis terbaik dalam anugerah berprestij di dunia

Hebat Alesyah, tersenarai 10 finalis terbaik dalam anugerah berprestij di dunia

Sebelum ini, Sinar Bestari pernah menyiarkan tentang pencapaian Alesyah Asa dalam anugerah Global Student Prize tahun 2022.

Artikel bertarikh 23 Julai itu berkisar tentang kejayaan pelajar jurusan Teknologi Pembinaan, Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah yang tersenarai sebagai salah seorang finalis daripada 50 calon seluruh dunia pada pertandingan berkenaan.

Kejayaan Alesyah bukan calang-calang. Ini kerana, kelompok 50 calon itu adalah daripada 7,000 penyertaan seluruh dunia. Memang sangat luar biasa sekali pencapaian anak Malaysia ini.

Yang terbaharu, Alesyah baru sahaja diumumkan mara ke peringkat akhir dalam Global Student Prize tahun 2022 sekali gus menjadi salah seorang 10 finalis terbaik.

Global Student Prize tahun 2022 anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat menawarkan hadiah berjumlah US$ 100,000.00 (RM445,000) kepada juara.

Pemilihan Alesyah sebagai 10 finalis adalah berdasarkan pencapaian dan sumbangannya dalam bidang inovasi, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), program pertukaran budaya dan hackathon.

Malah, dia juga pernah mewakili Malaysia sebagai duta budaya bagi rombongan pelajar KV Keningau yang melawat institusi pendidikan di Korea Selatan pada 2019.

Alesyah berkata, banyak cabaran yang dilalui sepanjang membabitkan diri dalam pertandingan tersebut.

“Dalam tempoh itu, saya diberi tugasan untuk menceritakan mengenai projek ‘smart mortar spreader for floor tiles’ iaitu memasang jubin lantai bagi mereka yang kurang berkemahiran dan ia dirakam menerusi video untuk dinilai oleh pihak penganjur.

“Saya tidak sangka boleh mencapai ke tahap ini sehingga tersenarai dalam 10 finalis terbaik. Ini kerana, persaingan peserta dari negara seperti India, Kanada, Brazil, Ghana dan beberapa negara lain sangat sengit,” ujarnya yang merupakan anak kepada seorang suri rumah manakala bapa Alesyah telah meninggal dunia empat tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, pencapaian pelajar ini merupakan kebanggaan Malaysia dan ia jelas membuktikan kualiti pendidikan negara khususnya di KV telah berjaya melahirkan pelajar yang kompeten, kreatif dan berkarisma.

Artikel berkaitan 

Tersenarai antara 50 calon seluruh dunia, Alesyah buat rakyat Malaysia gembira dan bangga!

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

Cipta banyak kejayaan sepanjang 9 tahun bergelar guru, Cikgu Rahim buat warga sekolah bangga!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok