WhatsApp Image 2021-08-09 at 17.59.52
WhatsApp Image 2021-08-09 at 17.59.52

MQA serah 2,000 baucar makanan, kit kebersihan kepada UKM

Nor Azma  Muhamat Laila
09 Aug 2021 08:10pm
A
A
A

BANGI - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membantu kira-kira 2,000 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada di kampus induk menerusi pemberian baucar makanan dan kit kebersihan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata aktiviti itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MQA kepada masyarakat dan kali ini pihaknya memilih mahasiswa UKM.

Beliau berkata, dalam pandemik Covid-19, MQA memilih untuk memberi barang keperluan berkaitan kebersihan diri dan makanan supaya boleh terus dimanfaatkan oleh penerimanya.

"Diharap sumbangan diberikan ini sedikit sebanyak mampu memberi keceriaan kepada mereka (pelajar) yang belum berpeluang untuk pulang ke kampung halaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan baucar makanan kepada Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan pek makanan serta kit kebersihan pada Program Prihatin MQA Bersama Pelajar IPT kepada lima wakil pelajar UKM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Datuk Dr Othman A Karim dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof Madya Dr Roslee Rajikan dan Ketua Unit Hal Ehwal Awam & Antarabangsa (MQA International), Hasfarizal Kamaludin.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Prof Mohd Ekhwan berkata, CSR itu ialah usaha yang proaktif daripada MQA untuk membantu pelajar yang berada di kampus manakala sebahagiannya pula dalam proses dihantar pulang ke kampung halaman bersempena dengan cuti semester.

"Aktiviti ini mengukuhkan lagi kerjasama antara MQA dengan institusi pengajian tinggi, bukan sahaja dalam aspek memberikan pendidikan berkualiti, tetapi juga memastikan kebajikan pelajar terbela terutama ketika pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, pelajar UKM yang ditemui menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang disampaikan oleh MQA.

Ahli Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Dato' Onn UKM, Muhammad Adhwa Haziq Arsad.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Muhammad Adhwa Haziq Arsad, 22, berkata bantuan sedemikian yang disampaikan MQA dan badan bukan kerajaan lain membolehkan pelajar di kampus berada dalam keadaan kondusif.

Dia yang juga Ahli Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Dato' Onn UKM, memilih untuk tidak pulang ke kampung buat masa ini kerana atas rasa tanggungjawab mahu menguruskan kepulangan rakan senegeri selain tidak mahu mengambil risiko menjadi pembawa virus Covid-19 ke Kemaman, Terengganu.

"Makanan dan keperluan lain termasuk WiFi amat baik di UKM kerana sentiasa dijaga pihak universiti, jadi kami yang berada di kampus tidak berasa tertekan dan boleh belajar atau menyiapkan tugasan dengan tenang," ujarnya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah, Siti Fazirah Amit.

Bagi anak kelahiran Kudat, Sabah, Siti Fazirah Amit, 22, dia mengambil keputusan tidak pulang ke kampung kerana bakal menghadapi kesukaran komunikasi untuk pulang semula ke UKM, selain kedua-dua ibu bapanya sudah meninggal dunia.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah itu berkata, keberadaan di kampus membolehkannya menjadi 'barisan hadapan' dengan menyertai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UKM.

"Kebajikan kami di sini tiada masalah kerana banyak pihak memberi bantuan makanan dan keperluan asas kerana difahamkan UKM membuka kerjasama dengan pihak luar yang ingin menghulurkan bantuan seperti MQA," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok