Beginilah keadaan tandas di MRSM Terendak yang mengejutkan Asyraf Wajdi ketika sesi lawatannya ke sana pada Khamis.
Beginilah keadaan tandas di MRSM Terendak yang mengejutkan Asyraf Wajdi ketika sesi lawatannya ke sana pada Khamis.

MRSM Terendak paling daif, uzur - Asyraf Wajdi

28 Sep 2024 12:33pm

"Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak adalah pusat pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang paling teruk, sangat daif dan uzur berbanding 39 daripada 57 MRSM yang saya sudah lawati,” kata Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika sesi lawatan ke MRSM yang terletak di Sungai Udang, Melaka pada Khamis.

Menurut Asyraf Wajdi, dirinya amat terkejut apabila mendapati banyak kemudahan asas di institusi pendidikan itu rosak, kotor dan tidak boleh digunakan.

Malah, dapur di Dewan Selera MRSM tersebut juga didapati kotor dan menjijikkan selain bilik air dan tandas rosak sehingga tidak boleh digunakan.

No Image Caption

Beberapa ruang pejabat juga dilihat mengalami kerosakan sehingga mengganggu operasi pengurusan dan pentadbiran MRSM berkenaan.

“Pada penilaian saya, MRSM Terendak berada dalam keadaan yang sangat daif dan uzur terutama fasiliti tertentu.

"Dalam konteks ini, saya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk Mara memberi keutamaan menaik taraf kemudahan asas seperti tandas, selain ada bilik guru yang tidak boleh digunakan langsung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

No Image Caption

Terdahulu, Asyraf Wajdi mengadakan lawatan mengejut susulan laporan mengenai 48 pelajar MRSM Terendak mengalami keracunan makanan, malam tadi.

Susulan itu, beliau mengarahkan pengurusan MRSM Terendak menyenaraikan keutamaan berkaitan dalam tempoh sebulan, dengan menggunakan peruntukan khas yang diluluskannya berjumlah RM400,000.

"Paling penting ialah tandas, bilik guru dan asrama mesti berada pada tahap yang baik kerana saya sudah meluluskan peruntukan RM400,000 bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan berkenaan.

"Pada saya, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di MRSM berusia 41 tahun berkenaan yang mempunyai 663 pelajar. Saya mengambil serius perkara ini," katanya.

No Image Caption



No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp