Untitled (16)
Untitled (16)

MTD Kuala Lumpur dinobatkan johan program Toyota Eco Youth 2020/2021

Nor Azma  Muhamat Laila
03 Jun 2021 07:01pm
A
A
A

SHAH ALAM: Maktab Tentera Diraja (MTD), Kuala Lumpur yang menghasilkan inovasi untuk mengatasi masalah pencemaran air dikenali dengan nama We-Sea-It Smart Tool dinobatkan sebagai johan keseluruhan program Toyota Eco Youth (TEY) 2020/2021 yang berlangsung secara dalam talian, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan peserta dari MTD membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000.

Lebih manis lagi guru dari MTD Kuala Lumpur, Cikgu Noor Liyana Shamsudin turut dianugerahkan sebagai Guru Sokongan Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Tempat kedua menjadi milik Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan yang mempertaruhkan produk inovasi UCOnverter Smart Tool) manakala tempat ketiga disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kelantan melalui produk Recybin App.

SMAP Labu, Negeri Sembilan dipilih sebagai pemenang tempat kedua Toyota Eco Youth 2020/2021

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kelantan dipilih sebagai pemenang tempat ketiga Toyota Eco Youth 2020/2021

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM15,000 dan RM10,000.

SMK Saujana Utama, Selangor pula dipilih sebagai pemenang bagi kategori Penglibatan Komuniti Terbaik yang membawa pulang hadiah RM1,000.

Hani Nabila Muhammad Hilal dari SMAP Labu, Negeri Sembilan; Lim Bo Jing dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, Selangor dan Muhammad Uwais Darwis Muhammad Parid (SMK Majakir, Sabah) pula dipilih sebagai Agen M Terbaik sekali gus membawa pulang RM1,000 setiap seorang.

SMK Saujana Utama, Selangor pula dipilih sebagai pemenang bagi kategori Penglibatan Komuniti Terbaik

Edisi ke-20 program TEY menerima penyertaan sebanyak 16 pasukan membabitkan sekolah di seluruh negara tetapi hanya 10 yang disenaraikan untuk berentap di peringkat akhir.

Program tahun ini mengetengahkan tema "Reimagining Mobility", dengan semangat inklusif dan kebebasan idea sebagai asasnya, sekali gus mencadangkan penghasilan mobiliti yang selamat dan mesra alam.

Penularan wabak Covid-19 dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memberikan cabaran kepada penganjur apabila semua aktiviti terpaksa dipindahkan ke dalam talian melalui sesi pembelajaran elektronik dan bengkel.

Majlis penutup turut diadakan secara langsung melalui platform maya yang dihadiri oleh Penolong Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan, Datuk Adzman Talib sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Pengarah Pemasaran, UMW Toyota Motor, Mohd Shamsor Mohd Zain serta wakil-wakil lain dari Kementerian Pendidikan serta UMW Toyota Motor.

Adzman dalam ucapannya berkata, usaha yang dibuat UMW Toyota perlu dipuji kerana telah berjaya menganjurkan TEY secara berterusan sejak tahun 2001.

"Saya ingin meluahkan penghargaan tidak terhingga kepada UMW Toyota Motor di atas usaha mereka untuk menganjurkan program yang penuh makna ini, dalam mendidik belia setiap tahun serta usaha yang tidak kenal penat lelah untuk membangkitkan kesedaran terhadap pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan habitat kita," katanya.

Sementara itu, Mohd Shamsor berkata program TEY tahun ini mencerminkan kemampuan generasi baru untuk beradaptasi dengan kemajuan teknologi dan mengambil pendekatan inovatif dalam menyelesaikan masalah alam sekitar.

"Latihan asas iaitu kaedah Penyelesaian Masalah Toyota dijalankan secara maya dan saya bangga untuk menyatakan bahawa semua pelajar sangat terbuka dengan peralihan itu

"Sepanjang program, dengan panduan daripada guru dan mentor, para peserta sempat mempelajari tentang semangat berpasukan, keyakinan, komunikasi, kemahiran pembentangan, dengan kesemuanya menjurus kepada pengalaman pembelajaran yang lebih holistik," jelas Mohd Shamsor.

Bagi semua pemenang, program berkenaan masih belum selesai, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Jangka masa program kini menjadi tiga tahun dan pemenang bagi edisi 2020/2021 akan terus bertindak selaku pemudahcara bagi kumpulan peserta tahun berikutnya.

Mereka akan menyumbang pengalaman terhadap peserta seterusnya. Dalam masa sama, pendigitalan TEY kini melangkah setakuk lagi ke hadapan dengan adanya kelab dalam talian TEY Apprentice.

Tentang program Toyota Eco Youth

- Program TEY bermula sejak 20 tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam tempoh dua dekad, pesertanya telah melibatkan 258 sekolah, 1,910 sekolah menengah dan 762 guru.

- Setiap tahun, tema-tema menarik dan mencabar diberikan, dan peserta perlu hadir dengan penyelesaian inovasi menarik dengan cadangan yang boleh diaplikasikan di dalam lingkungan sekolah atau komuniti mereka.

- Lebih RM7 juta telah dibelanjakan oleh UMWT untuk menjayakan projek tahunan ini.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok