Kredit foto: SK Kg Johan Setia
Kredit foto: SK Kg Johan Setia

Murid dibenarkan memakai pakaian tradisi dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian - KPM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Sep 2023 06:11pm

Isu membabitkan pelajar sekolah yang dihalang memakai busana tradisional kaum lain ketika sambutan Hari Kebangsaan telah menarik perhatian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk diselesaikan.

Merujuk kenyataan media pada Khamis, KPM memaklumkan pihaknya memandang serius isu tular mengenai kebenaran pemakaian pakaian tradisi mengikut kaum dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian melibatkan murid-murid di institusi pendidikan bawah KPM.

“Berdasarkan kepada Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil 3/1984: Garis Panduan Mengenai Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-Sekolah, murid-murid dibenarkan untuk memakai pakaian tradisi yang bersesuaian dan sopan sewaktu menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian,” tulis kenyataan itu.

Merujuk kepada isu tular yang dilaporkan oleh beberapa portal berita, KPM berkata, pihak sekolah terbabit telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama wakil ibu bapa dan murid-murid.

“Penambahbaikan kepada penganjuran aktiviti yang dirancang telah dilakukan oleh pihak sekolah dan isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.

“Murid-murid sekolah terbabit dibenarkan untuk memakai pakaian tradisi mengikut kaum masing-masing dan pakaian tradisi kaum lain.

“Kebenaran juga diberi kepada murid-murid untuk memakai hiasan tambahan seperti gelang, rantai dan aksesori mengikut kesesuaian pakaian tradisi,” ujarnya.

Akhir sekali, KPM sentiasa menggalakkan penglibatan murid-murid dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp