
Murid merangkak sambil sarung selipar di tangan, ‘Saya mahu dia rasa pengalaman beratur masuk ke kelas’
Tular satu video di media sosial, TikTok menunjukkan seorang murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Waha, Johor merangkak semasa beratur untuk memasuki kawasan sekolah bersama rakan-rakan lain.
Ibunya, Siti Azah Mohd Jinal, 38, meluahkan rasa gusar dan takut apabila anak lelakinya, Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah, 5, yang menghidap Caudal Regression Syndrome iaitu tiada betis dan lutut berserta sumbing untuk memulakan sesi persekolahan 2025/2026 semalam.
“Alhamdulillah, cikgu-cikgu dia semua baik. Mereka memang sudah suruh masuk ke kelas terus dan tidak perlu beratur.
“Cuma saya yang mahu dia rasa pengalaman beratur dan masuk ke kelas itu sendiri.
“Tetapi, hari-hari seterusnya saya hantar dan jemput Shairid di kelas. Tidak perlu beratur dan bergerak terlalu banyak,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari.
Video yang dikongsikan di TikTok Siti Azah itu meraih sehingga lebih 5 juta tontonan dengan lebih 100,000 tanda suka.
Anak bongsu daripada lima beradik itu kelihatan tetap bersemangat dan gembira untuk memulakan sesi persekolahan meskipun serba kekurangan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa kagum dengan semangat anak istimewa itu hadir ke sekolah.
Bagi pengguna TikTok, @umiirose, anak syurga berkenaan merupakan orang paling hebat yang pergi ke sekolah untuk menimba ilmu.
“Kalau saya berada di sana, saya akan dukung dia tetapi untuk beri dia kehormatan, biar dia usaha sendiri sebab dia akan jadi anak yang bijak dan pandai berusaha sendiri. Tengok mak dia, tidak marah pun ada kawan terlanggar anak dia, hebat mak!” kata @emma_anuar.