Murid sekolah jadi Duta Madani KPM pupuk semangat perpaduan
Kementerian Pendidikan (KPM) ingin melantik para murid sekolah di seluruh negara sebagai Duta Madani pada peringkat kementerian dalam usaha memupuk semangat perpaduan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Festival Semarak Ilmu Tahun 2023 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Sentul, Kuala Lumpur menjadi sumber inspirasi tercetus idea berkenaan.
“Saya tegaskan program ini mesti diteruskan dan anak-anak sekolah yang menyertai program hari ini saya isytiharkan sebagai 'Duta Madani Perpaduan' khususnya di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“KPM akan teruskan program seperti ini dalam usaha memupuk perpaduan dan juga pembinaan negara Madani dan pengukuhannya melalui program sebegini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu di Pusat Konvensyen HGH, Sentul, Kuala Lumpur.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Radzita Radzi; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norhayati Ab Wahab; Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Sentul, Zainon Harun; Pengerusi Pusat Konvensyen HGH, Datuk Eddie Heng Hong Chai dan Focal Person Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Daerah Sentul, Zainuddin Ramelan.
Beliau menjelaskan, fungsi Duta Madani KPM adalah penting bagi menggagaskan optik lebih jelas mengenai perpaduan di peringkat sekolah dan integrasi kaum.
Fadhlina menambah, ia juga melibatkan pengukuhan idealisme dari segi kerangka Malaysia Madani yang inklusif serta mempunyai potensi seni dan budaya yang mesti dipertahankan dan diperkembangkan.
“Duta Madani Perpaduan peringkat KPM akan diperluaskan dan diumumkan dalam rangka lawatan ke negeri-negeri lain dari semasa ke semasa.
“KPM akan memanggil anak-anak sekolah untuk dilantik sebagai Duta Madani Perpaduan. Bawa mereka untuk bersama berkongsi dengan negeri-negeri lain juga berkaitan dengan potensi (bakat) dan juga bagaimana untuk terus jadi Duta Madani di peringkat sekolah.” katanya.