Keadaan lokasi kemalangan melibatkan bas dan treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak, Muadzam Shah awal pagi Ahad.
Keadaan lokasi kemalangan melibatkan bas dan treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak, Muadzam Shah awal pagi Ahad.

Nahas bas Rompin: Seorang lagi guru maut

09 Jun 2024 11:47pm
A
A
A

Seorang lagi guru yang terlibat dalam kemalangan bas persiaran dan sebuah treler di Jalanan Kuantan - Segamat awal pagi Ahad meninggal dunia, menjadikan jumlah mangsa maut seramai empat orang setakat ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Rompin, Pahang, DSP Nor Azman Yusof ketika dihubungi malam ini dan memaklumkan, mangsa keempat meninggal dunia dikenali sebagai Dahlia Ahmad berusia 52 tahun.

"Mangsa meninggal dunia pada 9.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan," katanya.

Menurutnya, 10 mangsa kini masih menerima rawatan manakala 25 dibenarkan keluar selepas menerima rawatan pesakit luar.

Guru berkenaan merupakan mangsa keempat selepas Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Cikgu Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris,29 dan pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok