CCO07489
CCO07489

Negara kehilangan graduan perubatan UM terbaik setiap tahun

Adlan Farhan Azwan
23 Dec 2022 10:00am
A
A
A

Satu kerugian buat negara apabila sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik dari Universiti Malaya (UM) mengambil keputusan untuk berkhidmat di luar negara terutama di Singapura sejurus menamatkan pengajian pada setiap tahun.

Keadaan ini juga secara tidak langsung memberi kesan terhadap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini yang berdepan kerugian sebanyak RM1 juta anggaran kos yang diperlukan bagi melatih setiap pelajar bidang tersebut.

Menurut bekas Dekan Fakulti Perubatan UM, Dr Adeeba Kamarulzaman, beliau menyifatkan situasi itu berpunca daripada kakitangan perubatan baharu yang terpaksa berdepan dengan kekurangan jawatan yang disediakan dan ketiadaan laluan latihan yang jelas.

Katanya, ia bertambah buruk apabila pegawai perubatan di negara ini dihantar ke United Kingdom (UK) bagi mengatasi kekurangan kakitangan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (NHS) di sana.

"Disebabkan kekurangan jawatan dan laluan latihan yang jelas, setiap tahun UM kehilangan sekurang-kurangnya 30 graduan yang terbaik dan cemerlang kepada Singapura.

“Perlu diingatkan, kos hampir RM1 juta telah diperuntukkan untuk melatih setiap pelajar ini.

“Kini, negara juga akan membantu mengatasi kekurangan kakitangan NHS dengan menghantar pegawai perubatan negara ke UK,” katanya menerusi perkongsian di laman Twitter, hari ini.

Kenyataan tersebut merujuk kepada perjanjian dimeterai antara Malaysia dan UK, yang mana kakitangan penjagaan kesihatan Malaysia dibenarkan untuk menjalani latihan di UK dan bekerja di NHS.

Dalam pada itu, Dr Adeeba juga berkata, penghijrahan kakitangan perubatan ke luar negara bukan hanya melibatkan doktor dan pegawai perubatan, malah ramai jururawat turut berbuat demikian.

“Negara akan terus berdepan dengan masalah ini sekiranya kita tidak serius dalam menangani segala isu berkaitan pegawai perubatan, doktor dan jururawat.

"Saya tidak menyalahkan golongan doktor muda dan baharu ini kerana saya juga akan membuat perkara yang sama jika diberi peluang yang lebih baik.

"Bagaimana negara akan berupaya untuk membina sistem kesihatan yang berdaya tahan dan bertaraf dunia sekiranya isu ini terus berlaku,” tambahnya.

Artikel berkaitan

Guru Sains kongsi 3 kaedah perubatan untuk panduan pelajar Tingkatan 4

Program Latihan Kepakaran Perubatan berjaya lahirkan ramai doktor pakar, tahniah!

Pelajar UM bantu anak yatim dan asnaf, anjur program belajar bahasa Inggeris di masjid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok