Program Latihan Kepakaran Perubatan berjaya lahirkan ramai doktor pakar, tahniah!
Program Latihan Kepakaran Perubatan berjaya lahirkan ramai doktor pakar, tahniah!

Program Latihan Kepakaran Perubatan berjaya lahirkan ramai doktor pakar, tahniah!

Roshlawaty Md Raieh
14 Oct 2022 02:02pm
A
A
A

Usaha melahirkan lebih ramai doktor pakar di negara ini akhirnya menjadi kenyataan apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama bersama KPJ Healthcare Berhad menerusi Program Latihan Kepakaran Perubatan.

Kerjasama yang dimulakan pada tahun 2012 itu diteruskan lagi melalui penyambungan Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua institusi tersebut sehingga 2027.

Lanjutan MoA tersebut dilihat mampu melahirkan doktor pakar yang berkualiti dan setaraf dengan Program Latihan Kepakaran Perubatan di universiti awam.

Program Latihan Kepakaran Perubatan antara UKM dan KPJ Healthcare Berhad ini telah dilaksanakan di Hospital Pakar KPJ oleh kumpulan Graduate School of Medicine, KPJ Healthcare University College (KPJUC).

Ia bermula dengan program Sarjana Kepakaran Otorinolaringologi iaitu Bedah Kepala dan Leher pada 2012.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Profesor Dr Mohammad Kassim, program Sarjana Kepakaran Otorinolaringologi itu merupakan program Latihan Kepakaran Perubatan yang pertama dilaksanakan oleh universiti swasta dengan menggunakan tenaga pakar dan fasiliti hospital swasta.

Melalui MoA yang dimeterai pada 2012 itu, Fakulti Perubatan UKM bersetuju untuk membantu dalam membangunkan kurikulum, pemantauan latihan di Hospital Pakar KPJ dan penempatan calon-calon di Hospital Tuanku Muhriz UKM dalam bidang-bidang tertentu.

Mohammad Kassim berkata, kerjasama Fakulti Perubatan UKM ini juga dilihat telah berjaya mencapai kualiti graduan doktor pakar yang dilahirkan oleh KPJUC.

Melalui kerjasama itu juga, tiga lagi program Latihan Kepakaran Perubatan telah dilaksanakan iaitu Sarjana Kepakaran Radiologi pada 2014, Sarjana Kepakaran Surgeri Am dan Sarjana Ortopedik, masing-masing pada 2016.

Seterusnya, KPJUC telah mendapat kelulusan untuk memulakan Sarjana Anastesiologi dan Rawatan Kritikal bermula 2022.

Sehingga September 2022, KPJUC berjaya melahirkan seramai 18 doktor pakar dalam bidang tersebut.

Sementara itu, dua program iaitu Sarjana Kepakaran Otorinolaringologi (Bedah Kepala dan Leher) dan Sarjana Kepakaran Radiologi telah mendapat akreditasi penuh daripada Malaysian Madical Council (MMC) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dilaksanakan sepenuhnya oleh KPJUC.

Dua lagi program iaitu Sarjana Surgeri Am dan Sarjana Ortopedik akan terus dilaksanakan melalui kerjasama UKM-KPJ Healthcare Berhad bagi memantapkan program.

Tingkatkan kualiti pendidikan

Jelas Mohammad Kassim, asas termeterainya memorandum itu adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

“Kita harus sedar, apabila berbicara tentang kualiti, kita tidak boleh berkompromi. Begitulah asas termeterainya memorandum ini iaitu untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

“UKM sesekali tidak akan mengabaikan aspek kualiti dalam pembelajaran dan pengajaran. Malah, saya percaya, UKM mahu pun KPJUC akan mendapat banyak faedah.

“Antaranya ialah pengawasan bersama pemeriksa luar pascasiswazah dan pendanaan penyelidikan fakulti,” ujarnya yang mewakili UKM untuk menandatangi dokumen MoA di universiti itu, baru-baru ini.

Artikel berkaitan 

Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022

Penyelidik UKM dan UNIMAS hasilkan sistem penskoran madu kelulut UKSF

Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok